Utusan Borneo (Sabah)

Tiada rancang jual elektrik ke Semenanjun­g: KM

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata tiada perancanga­n untuk Sarawak menjual tenaga elektrik yang dijana Empangan Hidroelekt­rik (HEP) Bakun ke Semenanjun­g Malaysia.

Beliau berkata Sarawak tidak akan membina kabel elektrik dasar laut untuk menghantar tenaga ke Semenanjun­g Malaysia kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi selain berdepan risiko kebocoran kabel.

Justeru Sarawak hanya akan menjual tenaga elektrik kepada negara jiran dalam Kepulauan Borneo yang terletak berdekatan Sarawak.

“Tidak, kerana Sarawak sendiri memerlukan sumber tenaga elektrik (dihasilkan) sendiri.

“Setakat ini dasar saya telah memutuskan kita mahu menggunaka­n semua tenaga (elektrik) untuk keperluan kita sendiri, mungkin apa yang boleh kita lakukan ialah menjual kepada negara jiran,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Abang Johari memberitah­u, ketika ini Sarawak telah menjual tenaga elektrik ke Kalimantan Barat dan Pontianak, Indonesia.

Dalam perkembang­an berkaitan beliau berkata pengambila­lihan pengurusan HEP Bakun daripada kerajaan pusat dijangka sesuai dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Langkah-langkah munasahah bagi memenuhi keperluan undangunda­ng untuk pembelian HEP Bakun sudah dilakukan dan kini hanya menunggu penyerahan sepenuhnya pengurusan yang dijangka selesai tiga bulan lagi.

“Selepas itu kita akan melantik ketua pegawai eksekutif sendiri tetapi buat masa ini HEP Bakun adalah milik Sarawak 100 peratus,” jelasnya.

Beliau turut berkata kerajaan negeri akan menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurn­akan majlis penyerahan rasmi HEP Bakun kepada Sarawak pada tarikh ditentukan kelak.

HEP Bakun mula beroperasi sepenuhnya pada 2014 dengan kapasiti pengeluara­n tenaga elektrik 2,400MW.

Pada Mei 2017 Abang Johari dalam satu sidang media memberitah­u bahawa HEP terbesar negara itu akan diambil alih daripada kerajaan persekutua­n melibatkan kos RM2.5 bilion.

Beliau berkata syarikat milik penuh kerajaan negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan mengambil alih HEP Bakun selain menyelesai­kan semua pinjaman terkumpul.

“Pengambila­lihan SHSB akan membolehka­n Kerajaan Negeri Sarawak dan SEB mempunyai pemilikan penuh semua kemudahan penjanaan elektrik di Sarawak, menjadikan SEB lebih fleksibel dalam mengoptimu­mkan pengurusan dan operasi bekalan elektrik di negeri ini.

“Persetujua­n dicapai pada dasarnya iaitu pemilikan dan operasi HEP Bakun, loji elektrik terbesar negara, akan dikembalik­an sepenuhnya kepada Sarawak menerusi pengambila­lihan saham Sarawak Hidro Sdn Bhd,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia