Utusan Borneo (Sabah)

Kubur hampir 100 mangsa perang ditemui di Bosnia

-

SARAJEVO: Rangka tulang hampir 100 orang, dipercayai penduduk Islam Bosnia dan Croatia yang dihukum mati dalam salah satu episod paling kejam dalam peperangan pada 1990, ditemui dalam sebuah kubur beramai-ramai, kata seorang pegawai kelmarin.

“Di kawasan Koricanske Stijene kami mengeluark­an 137 timbunan tulang, termasuk 86 tengkorak, yang bermakna sekurang-kurangnya 86 orang, atau mungkin lebih ramai lagi,” Lejla Cengic dari Institusi Orang Hilang di Bosnia memberitah­u wartawan AFP.

“Rangka tulang itu berada di dasar sebuah gua, dalam sebuah lubang semula jadi, dan telah ditutupi dengan sejumlah batu yang sangat banyak,” menurut Cengic.

Kubur beramai-ramai di tengah Bosnia ditemui berhampira­n dengan kawasan hukuman mati pada Ogos 1992 terhadap lebih 200 orang awam, penduduk Bosnia dan Croatia, sebelum itu dihalau oleh pasukan tentera Serbia Bosnia dari wilayah barat laut Prijedor.

Pembunuhan itu adalah salah satu episod paling kejam dalam perang antara etnik pada 1992-1995 di Bosnia yang meragut 100,000 nyawa.

Mangsa dipisahkan di Koricanske Stijene daripada satu konvoi yang membawa lebih 1,200 orang yang dihalau dari rumah mereka. Mereka diarahkan berbaris di atas sebuah lubang dan kemudian ditembak. Beberapa orang terselamat.

Sehingga hari ini, sebelas anggota pasukan polis zaman perang Serbia Bosnia telah dijatuhkan hukuman bagi jenayah tersebut.

Proses pengalihan di kawasan itu bermula pada awal September. Rangka tulang itu akan dibawa ke sebuah rumah mayat di mana identiti mereka akan ditentukan melalui ujian DNA, kata Cengic. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia