Utusan Borneo (Sabah)

Renang tutup gelanggang dengan penambahan tiga emas

-

KUALA LUMPUR: Skuad renang para negara menutup kempen Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan penambahan tiga lagi pingat emas daripada 10 acara akhir yang dipertandi­ngkan pada Jumaat di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Pingat emas pertama negara hadir menerusi Anderson Anak Jamba yang tidak berdepan masalah menewaskan pesaing dari Thailand, W. Napat dalam kategori 150 meter (m) rampaian individu lelaki SM4.

Anderson turut memperbaha­rui rekod sebelum ini milik rakan senegara, Wong Chee Kin 3 minit 49.01 saat yang dilakukan di Manila pada 2005 dengan catatan baharu 3:22.21s untuk merangkul emas manakala tiada pemenang pingat perak dan gangsa kerana hanya dua peserta sahaja yang mengambil bahagian.

Fraidden Dawan terus memberi keceriaan buat kem renang apabila turut menyumbang pingat emas dalam acara 200m rampaian individu lelaki SM10 dengan melakukan catatan 2:30.67s serta memadam rekod terdahulu milik beliau 2:32.46s yang dilakukan di Indonesia pada 2011.

Pingat perak acara berkenaan diraih perenang Myanmar, Aung Phone yang melakukan 2:40.41s manakala gangsa milik atlet Kemboja, Yav Vannak degan 2:56.64s.

Berselang beberapa acara kemudian, Anderson meneruskan aksi cemerlangn­ya pada Jumaat dengan melakukan kejutan meraih emas kedua peribadi dan emas ketiga skuad renang dalam acara 50m kuak lentang lelaki S4.

Beliau mencatat masa 52.06s untuk meraih emas serta jauh meninggalk­an perenang Thailand dengan 55.90s untuk pingat perak manakala wakil Vietnam, Ha Van Hiep sekadar berpuas hati dengan gangsa setelah melakukan 56.99s.

Sementara itu, skuad renang turut menyumbang empat pingat perak menerusi James Wong dalam 200m rampaian individu SM8 dan Yoong Chung Wei dalam acara 200m rampaian individu SM14. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia