Utusan Borneo (Sabah)

Bursa Malaysia dijangka diniagakan mendatar

Pasaran tempatan sejajar dengan bursa global yang stabil

-

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan mendatar antara paras 1,760 dan 1,770 minggu ini susulan ia memasuki tempoh kestabilan.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pasaran tempatan dijangka bergerak sejajar dengan bursa global yang stabil, susulan pengumuman oleh Rizab Persekutua­n AS untuk mengurangk­an lembaran imbanganny­a yang besar.

Beliau berkata pasaran turut dijangka memberi tindak balas kepada petunjuk bank pusat AS mengenai satu lagi kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

“Ini mungkin memberi tekanan, bukan hanya kepada Bursa Malaysia, tetapi juga bursa global,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baharu berakhir, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 15.29 mata kepada 1,771.04 daripada 1,786.33 minggu sebelumnya, dipengaruh­i oleh gabungan mesyuarat Jawatankua­sa Pasaran Terbuka Persekutua­n AS dan faktor hujung minggu yang panjang.

Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti Awal Muharam.

Bagi asas mingguan, Indeks FBM Emas merosot 97.96 mata kepada 12,625.72 dan Indeks FBMT 100 berkuranga­n 111 mata kepada 12,276.94.

Indeks FBM Emas Syariah turun 96.16 mata kepada 12,831.82 dan FBM 70 jatuh 155.13 mata kepada 15,091.75, manakala FBM Ace susut 40.26 mata kepada 6,652.34.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 70.24 mata kepada 16,758.74, Indeks Perusahaan jatuh 22 mata kepada 3,220.55, dan Indeks Perladanga­n merosot 53.39 mata kepada 7,917.27.

Jumlah dagangan berkuranga­n kepada 10.4 bilion bernilai RM8.32 bilion daripada 13.13 bilion unit bernilai RM10.77 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama tidak berubah pada 7.71 bilion saham bernilai RM7.88 bilion daripada 7.71 bilion saham bernilai RM9.86 bilion.-Bernama

“Ini mungkin memberi tekanan, bukan hanya kepada Bursa Malaysia, tetapi juga bursa global. DATUK DR NAZRI KHAN ADAM KHAN

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia