Utusan Borneo (Sabah)

Keamanan negara ini harus dipertahan selama-lamanya

-

SIBU: Keamanan dikecapi masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan sesuatu yang harus dipertahan dan dijaga untuk selama-lamanya.

Presiden Kelab Lion Sibu Dudong (LCSD) Kapitan Connie Loh berkata, semua pihak pasti mahu keamanan ini dijaga agar tidak hilang untuk diwarisi generasi akan datang.

“Kita semua sedia maklum mengenai keadaan dunia kebelakang­an ini menerusi media massa dan laman sosial, di mana peperangan dan keganasan berlaku di sana sini.

“Saya percaya keamanan ini berkaitan pendidikan, kita harus berlaku adil dan terbuka sama ada sebagai sebuah negara atau individu,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam LCSD, di sini baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong merangkap penaung LCSD, Datuk Tiong Thai King, Gabenor Kelab Lions Antarabang­sa Wilayah 308A2, Pelly Lee serta yang lain.

Menurut Loh, ketika mencipta logo untuk kelab itu, seekor merpati disertakan yang secara tradisinya digunakan sebagai simbol keamanan.

Sebagai ahli Kelab Lion, beliau percaya adalah menjadi tugas mereka untuk menyebarka­n mesej yang positif dan membawa kepada keamanan dunia.

“Kita berharap simbol ini akan menjadi pertunjuk dalam menentukan arah perjuangan, disamping menjadi peringatan dan mesej kepada dunia mengenai keamanan,” jelasnya.

Sejak menyertai Kelab Lion pada 2007, Loh berkata beliau telah banyak belajar mengenai khidmat masyarakat dan kerja sosial.

Beliau bersyukur kerana semua pengalaman yang telah dipelajari membentuk hidupnya menjadi orang yang lebih baik.

“Tidak dapat dinafikan dalam mana-mana kerja sosial, pasti ada keseronoka­n dan juga cabaran. Namun cabaran ini tidak harus melemahkan kita, sebaliknya menjadi kekuatan untuk memperbaik­i diri,” tambah Loh.

Pada majlis sama, seramai lapan ahli baharu telah menyertai LCSD, selain sumbangan kepada Hospital Sibu, SMK Lanang dan pertubuhan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia