Utusan Borneo (Sabah)

Penjajahan minda berlaku jika lemah fahami Rukun Negara

Jika kurang fahami Rukun Negara: Kurup

-

KENINGAU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata penjajahan minda oleh kuasa asing boleh berlaku sekiranya pemahaman rakyat terhadap prinsip Rukun Negara lemah sekali gus menjadi ancaman kepada agenda pembanguna­n dan pembentuka­n negara bangsa.

Justeru katanya, adalah penting bagi setiap rakyat di negara ini menghayati prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan sebagai panduan untuk membentuk jati diri yang utuh dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang majmuk.

“Saya yakin dan percaya dengan penghayata­n Rukun Negara, kehidupan rakyat di negara ini akan aman dan generasi kita tidak akan terjebak dengan gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kelab Rukun Negara Peringkat Daerah Sook Tahun 2017 di sini pada Ahad.

Kurup yang Anggota Parlimen Pensiangan berkata prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara berupaya memandu dan membentuk masyarakat untuk memiliki jati diri, berwawasan, beretika serta bermaruah sebagai bangsa Malaysia.

Sementara itu Kurup juga mengajak generasi muda di negara ini supaya menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini dengan menjauhkan diri daripada pengaruh anasir-anasir yang boleh mengganggu keharmonia­n serta memecahbel­ahkan perpaduan.

Mengenai Kelab Rukun Negara, Kurup berkata pada masa ini terdapat 6,338 buah kelab seumpama itu di seluruh negara dengan 333 daripadany­a di Sabah.

Katanya kelab berkenaan menekankan aktiviti berunsurka­n silang budaya, patriotism­e, kesukarela­an, kepimpinan, alam sekitar, keusahawan­an dan inovasi dalam program anjurannya.

“Aktiviti yang terkandung dalam modul program kelab ini bertujuan melahirkan pelajar yang sensitif dengan keperluan rakan kaum lain, mempelajar­i dan memahami budaya serta nilai-nilai rakan kaum yang lain selain melatih diri mencintai negara,” katanya.-

“Adalah penting bagi setiap rakyat di negara ini menghayati prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan sebagai panduan untuk membentuk jati diri yang utuh dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang majmuk. ”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia