Belia Islam Tawau sambut baik hasrat anjur Karnival Kesenian Islam
TAWAU: Badan Belia Usia Bahagian Tawau mewakili golongan belia Islam di daerah ini menyambut baik hasrat Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk menganjurkan Karnival Kesenian Islam pada awal tahun hadapan.
Setiausaha Ismail Awang percaya program berkenaan berupaya mengangkat status Tawau sebagai lokasi penting yang menyemarakkan perkembangan Islam di negeri ini.
“Kita menyokong hasrat ini malah sedia bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memastikan program yang dirancang berjalan lancar,” katanya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Presiden MPT Alijus Sipil pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1439 Hijrah Peringkat Perbandaran Tawau, Sabtu.
Menurutnya,DaerahTawau sememangnya dikenali ramai sebagai pusat tumpuan untuk pelbagai acara berbentuk keagamaan khususnya Islam di Sabah semenjak dahulu lagi.
“Daerah kita juga bukannya asing untuk program-program yang berorientasikan Agama Islam, malah kita berpengalaman menganjurkan program bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau optimis sekiranya karnival berkenaan diadakan kelak, Tawau boleh menjadikannya sebagai sebuah program yang mampu memberikan impak positif.
Ismail berkata, belia Islam di daerahinijugadiharapbersedia untuk menyertai karnival itu sebagai dukungan berterusan terhadap aktiviti berbentuk pengisian dakwah.
“Kita di Belia Usia mengajak rakan-rakan belia di daerah ini supaya turut menyediakan barisan peserta masing-masing untuk mengimarahkan lagi karnival itu,” katanya.
Terdahulu, Alijus dalam pengumumannya berkata Karnival Kesenian Islam berkenaan bakal diselitkan pengisian pertandingan seperti marhaban, kompang, nasyid dan berzanji.