Utusan Borneo (Sabah)

Mexico henti operasi menyelamat

Pencarian di lima lokasi utama di tengah Kota Mexico masih diteruskan

-

KOTA MEXICO: Dakwaan kecuaian pembinaan dan pemantauan lemah mulai timbul kelmarin selepas bangunan ranap dalam gempa bumi di Mexico, tatkala harapan pudar untuk menemui mangsa terselamat dalam bencana yang telah menyebabka­n lebih 300 maut.

Runtuhan paling berprofil tinggi berlaku di sebuah sekolah di mana 19 kanakkanak maut minggu lepas, struktur yang dibina secara haram di atas tanah perumahan, menurut laporan media tempatan.

Datuk Bandar Kota Mexico City, menteri dan pegawai kanan daerah berbalas tuduhan selepas laporan menyatakan Sekolah Rendah Enrique Rebsamen beroperasi menggunaka­n dokumen palsu.

“Sekiranya disahkan, perkara ini amat serius,” kata Menteri Pendidikan Aurelio Nuno kepada rangkaian televisyen Televisa, lantas menyatakan beliau telah mengarahka­n satu siasatan.

Kerajaan juga dikritik keluarga mangsa yang hilang dalam gempa bumi itu.

“Mereka hanya mampu berbohong,” kata Anel Jimenez, 42, yang menyatakan sepupunya Martin Estrada, 30, seorang akauntan, berada di dalam bangunan pejabat tujuh tingkat itu ketika ia runtuh.

“Tiada seorang pun pegawai atau wakil kerajaan datang ke sini.

“Mereka cuma menghantar pegawai berprofil rendah yang sentiasa mempunyai topi bersih dan kasut berkilat, yang datang untuk melihat hasil yang boleh diperas daripada penderitan­a orang lain,” kecamnya.

Pekerja penyelamat kini menghentik­an kesemua operasi melainkan di lima lokasi di Kota Mexico, tatkala peluang untuk mengeluark­an mangsa terselamat dalam dalam runtuhan semakin pudar.

Namun Presiden Enrique Pena Nieto menegaskan pihak berkuasa tidak akan menghantar jentolak untuk memulakan kerja pembersiha­n sehingga pasukan penyelamat benar-benar pasti tiada lagi mangsa terselamat yang terperangk­ap.

Bangunan di mana sepupu Estrada terperangk­ap, di lebuh Alvaro Obregon Avenue dalam kawasan kejiranan mewah Roma, kini menjadi tapak pencarian utama.

Ia ranap dalam puing konkrit dan keluli bersama 132 mangsa di dalamnya.

Sejumlah 29 mangsa berjaya dikeluarka­n dengan selamat dari dalam runtuhan bangunan tersebut dan 69 lagi dari lokasi lain di seluruh bandar raya.

Namun sejak lewat Jumaat, hanya mayat yang telah ditemui.

Di Kota Mexico, penduduk kembali ke pejabat dan sekolah dengan perasaan bercampur baur ekoran gegaran susulan pada Sabtu lalu.

Selepas hampir seminggu suasana luar biasa senyap di metropolis 20 juta penduduk itu, kesesakan trafik yang membelengg­u jalannya mulai muncul semula.

Daripada 8,700 sekolah, 103 dibuka semula kelmarin, menurut kementeria­n pendidikan.

“Ramai masih gelisah dan mengalami tekanan pascatraum­a,” kata ahli psikologi Raquel Gonzalez, sebahagian daripada pasukan yang menawarkan sesi kaunseling percuma di sebuah taman awam di tengah zon bencana.

“Penduduk yang datang ke sini mengakui mereka masih berasa tanah bergerak dan mereka amat takut,” katanya.

Angka kematian terkini adalah 326, dengan 187 daripada di Kota Mexico sahaja. — AFP

“Tiada seorang pun pegawai atau wakil kerajaan datang ke sini. Mereka cuma menghantar pegawai berprofil rendah yang sentiasa mempunyai topi bersih dan kasut berkilat, yang datang untuk melihat hasil yang boleh diperas daripada penderitan­a ” orang lain. ANEL JIMENEZ Keluarga mangsa

 ?? — Gambar Reuters ?? JAVIER Saucedo, ayah kepada Angel Javier Saucedo, salah seorang mangsa hilang, menangis di hadapan sebuah bangunan yang roboh selepas gempa bumi di Kota Mexico.
— Gambar Reuters JAVIER Saucedo, ayah kepada Angel Javier Saucedo, salah seorang mangsa hilang, menangis di hadapan sebuah bangunan yang roboh selepas gempa bumi di Kota Mexico.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia