Agensi UK sedia £5.0 bilion bagi menyokong dagangan dengan M’sia
KUALA LUMPUR: Kemudahan sokongan agensi kredit eksport Britain, UK Export Finance (UKEF) bagi perdagangan United KingdomMalaysia telah meningkat dua kali ganda kepada lebih £5.0 bilion (kira-kira RM28.35 bilion), kata Wakil Perdagangan Perdana Menteri Britain ke Malaysia, Richard Graham.
“Ini bermakna sokongan tambahan kewangan (sebanyak) berbilion-bilion pound disediakan untuk pengeksport United Kingdom (UK) dan pembeli mereka dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia, kelmarin.
Peningkatan itu merupakan tambahan sebanyak £2.75 billion (kira-kira RM15.59 bilion) yang akan disediakan UKEF bagi membantu pembeli Malaysia mendapat akses terhadap pembiayaan jangka panjang yang menarik kepada sumber barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi di UK.
UKEF juga kini menawarkan sokongan pembiayaan dalam ringgit yang membolehkan pembeli di Malaysia mendapat akses kewangan dalam mata wang tempatan negara asal apabila berurusan dengan sumber dari UK.
Graham, yang kini dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia sehingga Selasa, akan turut memberi sokongan kepada delegasi perdagangan Latihan Bahasa Inggeris UK serta menemui pegawai kanan kerajaan serta pemimpin perniagaan.
Lawatan beliau adalah susulan kejayaan kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa UK, Mark Garnier sebelum ini, termasuk menemui pegawai kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta membincangkan kepesatan perkembangan perdagangan dalam sektor teknologi dan pendidikan.
Bersempena kunjungannya itu, Graham akan turut mempromosikan kepakaran pendidikan UK dan meletakkan negara itu sebagai destinasi pilihan pelaburan luar negara untuk syarikatsyarikat dan pelabur Malaysia. — Bernama