Utusan Borneo (Sabah)

Lapan lelaki geng curi motosikal ditahan

-

BALIK PULAU: Polis menumpaska­n geng curi motosikal selepas menahan lapan lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang merupakan anggota kumpulan yang dikenali sebagai ‘Jun Gurun’ itu dalam beberapa serbuan di Bayan Lepas, dekat sini dan Kedah baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan dua lelaki bersama sebuah motosikal jenis KTM Duke yang dilaporkan hilang dalam serbuan di kawasan Flat Kristal Idaman, Bayan Lepas pada 19 Sept lepas dan turut merampas dua batang kunci allen yang telah diubah suai.

“Siasatan awal, kedua-dua lelaki itu memang dikehendak­i polis berkaitan kes curi motosikal di Mersing, Johor dan polis turut merampas pelbagai peralatan untuk mencuri kenderaan antaranya sepana boleh laras, playar serta pemutar skru.

“Susulan penahanan dua suspek itu, polis berjaya mengesan enam lagi lelaki termasuk seorang warga Indonesia di kawasan Pendang dan Gurun di Kedah,” katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah motosikal dilaporkan hilang, rangka motosikal dan pelbagai komponen kenderaan itu yang dicuri antaranya enjin serta tayar di kawasan Gurun dan Pendang.

Anbalagan berkata berdasarka­n siasatan, seorang daripada mereka berperanan untuk mengiklank­an motosikal atau komponen kenderaan itu menerusi laman sosial Wechat dan geng berkenaan didalangi seorang remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah.

Katanya lapan lelaki berusia 17 hingga 22 tahun itu terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak hujung tahun 2016 dan kawasan tumpuan geng berkenaan adalah di sekitar Queensbay, Bayan Lepas dan Sungai Nibong, di sini.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia