Utusan Borneo (Sabah)

Gas klorin bocor: Penduduk rasa pening, mengantuk, mata pedih

-

MELAKA: Tiba-tiba rasa pening, pedih mata, sakit tekak dan mengantuk, itu yang dialami penduduk Kampung Tambak setelah terhidu bau busuk dalam kejadian kebocoran gas klorin di kampung itu petang Khamis.

Salina Samin, 40, yang berniaga makanan berdekatan lokasi kejadian berkata beberapa pelanggan yang makan tengah hari di kedainya turut mengadu perkara yang sama dan beliau mengambil keputusan untuk menutup kedai lebih awal pada 3 petang kerana berasa ‘tidak sedap hati’.

“Rasa pening dan mengantuk berlarutan hingga lewat malam, saya hanya mengetahui berlaku kejadian gas beracun lewat petang semalam melalui orang ramai apabila kenderaan bomba mula tiba di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama, Jumaat.

Sementara itu, pekerja swasta, S. Balakrisha­m, 45, berkata ketika sedang menonton televisyen bersama keluarga di ruang tamu, beliau bergegas keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku apabila menghidu bau klorin.

“Setelah keluar dari rumah saya dapat lihat beberapa jiran keluar rumah dan ketika itu saya mula rasa sakit-sakit tekak dan pening,” katanya.

Balakrisha­m berkata setelah bomba sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 6 petang, beliau dan lapan anggota keluargany­a diarahkan berpindah ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Tambak Paya.

“Setelah mendaftar di pusat pemindahan, saya dan anggota keluarga membuat keputusan untuk berpindah ke rumah rakan di Malim kerana mengalami sakit belakang dan mula kembali ke rumah pada 7 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata masih lagi terdapat sisa-sisa bau klorin di dalam rumah namun tidak mengalami sebarang rasa sakit.

Bernama melaporkan seramai 35 orang kini masih mendapat rawatan di Hospital Melaka dan lima orang lagi di Hospital Jasin setelah sesak nafas akibat terhidu gas klorin apabila satu daripada tujuh tong gas tersebut bocor petang semalam.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati orang kampung mula pulang ke rumah masing-masing sejak awal pagi dan mereka menjalanka­n aktiviti harian seperti biasa. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia