Utusan Borneo (Sabah)

Pemimpin masyarakat berfungsi main peranan sebar polisi kerajaan

-

SKRANG: Pemimpin akar umbi harus memainkan peranan aktif dalam menyampai dan menyebarka­n polisi kerajaan yang menjadi majikan mereka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa.

Jelasnya, golongan ini terdiri daripada pemanca, penghulu, kaunselor, kapitan, tuai rumah termasuk ketua kampung merupakan mata telingan kerajaan malah berperanan menjadi perantara kedua-duanya.

“Maka itu, apa sahaja dasar, misi dan visi kerajaan yang dipelopori Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri dan persekutua­n harus disampaika­n agar ia sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaia­n Sijil Ketua Kaum DUN N.33 Engkilili di Dewan yang turut di hadiri Ahli Parlimen Lubuk Antu Datuk William Nyalau Badak di Skim Skrang di sini semalam.

Ia adalah anjuran bersama Pejabat Residen Sri Aman dan Pejabat Daerah Kecil Engkilili.

Pada majlis itu seramai tiga penghulu baharu menerima sijil lantikan penghulu iaitu Nyambong Maweng, Ahmad Suhaili dan Lee Chee Min @ Ah Beng.

Sementara 89 orang lagi menerima sijil tuai rumah dengan 37 oprang merupakan penerima lantikan baharu berkuat kuasa serta-merta.

Tambah Dr Rayong, mereka dilantik harus rajin bekerja untuk anak buah masing-masing dengan mengemblen­g tenaga dan buah fikiran bersama wakil rakyat dalam membangun DUN Engkilili ke tahap lebih tinggi.

“Ingat, jawatan ini bukan untuk anda bermegah-megah, riak dan sombong sebaliknya membantu saya membangunk­an kawasan dan bersama-sama mencari jalan penyelesai­an masalah rakyat,” katanya sambil berharap pemimpin masyarakat perlu mempunyai kemudahan telekomuni­kasi untuk memudahkan perhubunga­n.

Golongan itu juga disaran untuk memahami aspirasi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang antara lain mengajak rakyat menerokai bidang dikenali Ekonomi Digital.

Katanya, kerajaan menyasarka­n rakyat terutama di luar bandar agar berpendapa­tan tinggi menjelang tahun 2030 dengan sekurangku­rangnya lebih RM4,000.

“Justeru saya berharap anda sebagai pemimpin paling dekat dengan rakyat membantu kerajaan mencapai visi tersebut yakni dengan menggalakk­an mereka mengusahak­an tanah terbiar dan hasilnya dipasarkan menerusi aplikasi canggih hari ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia