Utusan Borneo (Sabah)

Kes Slender Man, remaja elak penjara

-

CHICAGO: Seorang remaja Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menikam seorang rakan sekelas dalam serangan untuk mendapat perhatian watak fiksyen dalam Internet tidak akan dipenjarak­an selepas meraih perjanjian dengan pendakwa raya, menurut peguam belanya kelmarin.

Morgan Geyser, 15, akan mengaku bersalah atas dakwaan menikam rakan sekelasnya Payton Leutner pada 2014 dalam kes yang digelar ‘Slender Man’ yang meraih perhatian meluas sehingga dijadikan dokumentar­i televisyen.

“Dia akan ditahan di sebuah pusat mental dan dirawat sehingga para doktor mendapati dia sudah sihat untuk dibebaskan,” kata peguamnya Donna Kuchler.

Tindakan tersebut secara efektifnya menutup kes tersebut susulan perjanjian sama yang dicapai rakan subahatnya Anissa Weier.

Kedua-dua tertuduh berusia 12 tahun ketika menikam Leutner, yang terselamat dalam serangan itu, sebanyak 19 kali di sebuah taman awam di Waukesha, Wisconsin, pinggir bandar tengah barat Milwaukee.

Seorang pengayuh basikal menemui Leutner dalam keadaan cedera teruk dan membantu mengejarka­nnya ke hospital.

Kedua-dua remaja itu mengaku hilang kewarasan dan menyatakan mereka mahu memuaskan syarat Slender Man, watak Internet yang kerap diselitkan pada latar belakang foto hitam dan putih yang mengerikan, untuk tidak mencederak­an ahli keluarga mereka.

Semasa pendengara­n kesnya di mahkamah kelmarin, Geyser yang bercermin mata sekadar merenung kosong dengan mulut melopong.

Weier, 15, mencapai perjanjian sama awal bulan ini yang akan menyaksika­nnya berada di hospital mental selama tiga tahun.

Di sebalik usia muda mereka, kedua-duanya telah didakwa sebagai orang dewasa ekoran kekejaman jenayah itu.

Selepas menyerang mangsa, mereka mengaku mencari Slender Man di sebuah hutan simpan ratusan kilometer dari tempat kejadian, menurut Milwaukee Journal Sentinel.

Kes tersebut menarik perhatian awam dengan video soal siasat polis dipaparkan dalam dokumentar­i HBO 2016 ‘Beware the Slenderman’. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia