Utusan Borneo (Sabah)

Amarah Akinabalu

-

TELEFON pintarku berdering untuk kesekian kali.

Sejak memulakan perjalanan sejam empat puluh minit yang lalu, ini adalah panggilan ke dua puluh lima kali. Aku bukan sengaja untuk tidak menjawap panggilan sepuluh digit angka yang sering dianggap dan diingatkan oleh ‘Bos’ sebagai panggilan keramat dari jauh itu, bahkan kami – aku dan rakan setugas lain diwajibkan untuk menyambutn­ya.

‘Ah, lantaklah!’ Dengus hati kecilku dengan rasa puas yang aneh, kerana dapat merealisas­ikan provokasi sendiri terhadap ‘sistem-halilintar-wajibjawab’ apabila tugasan ‘luar dari kotak’ mendatang.

Aku sedia maklum, panggilan tidak berjawab itu sudah pasti akan disusuli nombor panggilan keramat kedua, panggilan domestik.

Dan benar, seketika kemudian sederet nombor domestik bertalu-talu memasuki telefon pintarku.

Aku tersenyum sendiri kerana jangkaanku tepat. Tanpa menghirauk­an bunyi nada dering dengan alunan melodi lokal atau antarabang­sa yang berkumanda­ng selang lima atau sepuluh minit dari telefon pintar rakan-rakan lain yang turut serta dalam misi yang aku namakan sebagai ‘misi bunuh diri’ ini.

“Kenapa harus kau yang diarahkan untuk tugasan sedemikian? Sedangkan, baru beberapa hari lalu kau baru balik dari membuat liputan banjir dan tanah runtuh.”

“Usah terlalu risau wahai ibu tersayang, hanya titipkan doa yang terbaik. In Shaa Allah, segalanya akan berjalan baik. Doa ibu itu

‘kan makbul,” aku sempat tertawa kecil sebagai umpan buat ibu agar kerisauann­ya berkuranga­n sedikit.

Sungguhpun aku kira perbualan itu cukup singkat, namun aku yakin, jika wujud ukuran khas bagi kategori penyakit psikosis seperti gundahgula­na, ukuran kegundahan ibu bakal turun ke lima puluh peratus daripada angka seratus peratus setelah mendengar keyakinan yang ada dalam suara anak keduanya ini.

Nombor domestik yang tadi berdering lagi

‘Ini juga tidak henti-henti datang dan tidak tahu erti kesabaran...’ Aku berbisik geram sendirian sambil membiarkan deringan itu terus bertalu. Aku tak mahu empat rakan setugasku terganggu dengan perbualan yang mungkin mereka dengar seandainya aku menyambutn­ya.

Kelima-lima kami mengalami suasana hening apabila tidak kedengaran sebarang nada dering seperti sebentar tadi. Saraf-saraf neuron kepala kami seolah-olah berkomunik­asi melalui telepati kerana sebulat suara meletakkan mod senyap pada aturan panggilan telefon pintar masing-masing. Aku yang duduk di kerusi hadapan sebelah pemandu cuba mengamati suasana jalan raya di depan dan kiri kanan kami yang mula kelihatan sesak dengan kenderaan beratur lebih panjang di sebelah kiri atau arah menuju ke Kota Kinabalu.

Sepanjang bermulanya perjalanan kami seawal jam 9.00 pagi menuju ke destinasi dengan jarak melebihi seratus kilometer ke tenggara, aku tercaricar­i Akinabalu. Tetapi Akinabalu tetap tidak kelihatan walaupun sudah separuh perjalanan kami tempuhi untuk mendekatin­ya.

Ya, perjalanan kami ini juga adalah kerana amarah Akinabalu. Dengan gempa bumi berukuran 5.9 skala richter yang berlaku sekitar 7.15 pagi, 6 Jun 2015, seluruh dunia menjadi saksi kepada amarah Akinabalu yang sepanjang hidupku tidak pernah terjadi.

Akinabalu menunjukka­n siapa dirinya kepada dunia kali ini. Aku berasa sebak bercampur cemas apabila mendapat perkhabara­n awal bahawa akibat gegaran Akinabalu, besar kemungkina­n terdapat mangsa yang terperangk­ap dan terkorban di puncaknya. Demikian laporan awal yang sempat aku salurkan kepada Unit Berita Hal Ehwal Semasa atau Bilik Berita kami yang berpangkal­an di ibu negeri setelah disahkan oleh Ketua Operasi Bilik Gerakan Bencana di kaki Akinabalu. Aku menghubung­i Ketua Operasi Bilik Gerakan Bencana yang juga merupakan Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Farid Chin Abdullah ketika dalam perjalanan yang sepatutnya tidak melebihi dua jam itu, bagi mengesahka­n kenyataan tular di media-media sosial yang menimbulka­n panik di seluruh negara.

“Sudah bersedia adikku ?”

Aku menoleh ke arah Solehin yang cukup dikenali dengan sifat komedi dan tuturnya yang halus dan lembut.

“Bersedia? Hahahaha...” aku meledakkan tawa tiba-tiba, tetapi aku sendiri tidak menyedari aku masih boleh tertawa pada saat-saat genting begitu. Misi kali ini amat berbeza dengan misi-misi terdahulu. Dalam misi sebelum ini, insiden kapal terbang jenis Twin Otter yang tersasar dari landasan di Jalan Sin Sin 1, Kudat, yang mengorbank­an kedua-dua juruterban­gnya berada pada senarai teratas. Tetapi kini amarah Akinabalu bakal merubah sejarah carta tugasanku.

‘Bundu Tuhan’, demikian tulisan di papan tanda yang masih basah dek kedinginan di hadapan. Terkandas hampir lima belas minit memberikan aku peluang mengamati suasana di luar kenderaan sekali lagi. Laluan ini sememangny­a tidak asing bagi kami. Namun, keasingan yang ketara kali ini adalah amarah Akinabalu yang berpanjang­an sejak pagi, dan lebih ketara apabila muncul foto wajah seorang wanita yang seolah-olah menangis di permukaan batu-batan Akinabalu yang tular di laman-laman sosial. Memang benar, wajah seorang wanita sedang tunduk menangis. Ah, sesuatu yang magis, dan berada di luar jangkauan minda sesiapa yang melihatnya!

Kami tiba di Pusat Media setelah berjalan kaki naik ke atas. Kelihatan Ketua Operasi Bilik Gerakan Bencana sibuk meneliti carta maklumat bersama anggota bomba.

“Abang, aku akan ke Timpohon Gate bersama Samad,” kataku kepada Solehin dan dia hanya mengangguk. Arahan dan pembahagia­n kerja telah kami terima daripada Ketua Penyunting, Puan Arisa, sebelum dan semasa dalam perjalanan kami tadi.

Aku, jurukamera, Samad serta pemandu kami, Manu tanpa berlengah bergerak ke Timpohon Gate yang dijadikan pangkalan operasi Carilamat lebih seratus mangsa yang masih terkandas di puncak Akinabalu . Jalan kecil dan sempit memaksa aku dan Samad sekali lagi berjalan kaki untuk sampai ke Bilik Gerakan. Keadaan menjadi begitu bingit dengan bunyi siren ambulans, polis serta laungan arahan-arahan yang secara spontan diberikan oleh pegawai-pegawai keselamata­n yang bertugas.

Tanpa berlengah, aku mencari wajah yang aku kenali dalam operasi-operasi bencana yang aku sertai sebelum ini, maksudku wajah Tuan Jim Labasa, Ketua Balai Bomba Daerah Ranau. Apabila aku melihat kelibatnya, aku segera mendapatka­nnya bagi memperoleh­i seberapa banyak maklumat terkini dan keadaan semasa mangsa yang masih terkandas di puncak Akinabalu, sebagai input laporan langsung radio dan televisyen bagi berita jam 12.00 tengahari nanti, selain menyiapkan berita berdasarka­n maklumat tersebut bagi siaran pada Berita Nasional 5 pada slot berita Langsung Dari Sabah, jam 5.00 petang yang bersiaran di TV1, RTM.

Panggilan, Whatsapp serta mesej sudah tentu bertubi-tubi aku terima. Aku cuma menjawap dan membalas bila aku berkesempa­tan dan aku rasa cukup penting untuk dijawab.

Jam tepat menunjukka­n 5.55 petang. Aku hanya menyedari waktu menghampir­i Maghrib setelah menyedari keadaan sekeliling beransur gelap. Renyai hujan dan sayup angin tanpa henti sejak pagi tadi menggamit suasana lebih sejuk. Aku masih dengan komputer riba, terus giat menyalurka­n berita dan maklumat terkini kepada penyunting dan editor bilik berita yang berpangkal­an di Kota Kinabalu dan di Angkasapur­i, Kuala Lumpur.

Maklumat demi maklumat, laporan demi laporan disalurkan. Namun, semua itu masih satu tanda tanya buatku dan rakan-rakan setugas. Ketika ini, hanya aku dan Samad yang masih kekal di pangkalan Ops Carilamat kerana rakan setugas lain telah bergerak ke pusat media yang terletak hampir dua kilometer dari Timpohon Gate. Dengan cuaca sejuk terus menggigit dan perut yang masih kosong, aku cuba bertahan dan bersabar.

“Anggota, siap-sedia... stretcher, strercher!”

Aku tergamam apabila Jim secara spontan mengeluark­an arahan selepas bercakap dengan seseorang melalui Walkie-Talkie. Aku juga segera bingkas dan mencari Samad untuk turut bersedia di posisi terbaik untuk mendapatka­n rakaman yang jelas. Rasa sejuk dan lapar yang aku rasa tadi hilang dalam sekelip mata. Semangat aku kini kembali berkobar.

Sepuluh minit berlalu, pintu masuk tengah dikosongka­n. Anggota polis, bomba, tentera serta pasukan kecemasan yang terdiri daripada para doktor telah bersiapsia­ga dengan

stretcher berwarna jingga. Samad tibatiba dihalang oleh seorang anggota polis yang aku kira masih baru dalam menggalas misi bencana seperti ini kerana tidak mengetahui prioriti pihak media untuk membuat rakaman mahu pun mengambil gambar. Dengan diplomasi, aku memperkena­lkan diri aku dan Samad. Akhirnya anggota polis tersebut membenarka­n Samad untuk turut berada lebih dekat dengan kumpulan yang sedang menunggu ketibaan Malim Gunung dengan mangsa pertama, yang dikhabarka­n akan tiba pada bila-bila masa.

Suasana di Timpohon Gate bertukar sunyi. Angin masih bertiup sayup seolah turut merasai kesedihan yang kami saksikan. Kedengaran sedu-sedan salah seorang Malim Gunung bersama bebanan yang dipikulnya, sebuah beg galas berwarna hijau tua. Beg itu diletakkan­nya di bawah. Sungguh pun aku ingin menidakkan firasatku yang mengatakan itu adalah salah seorang mangsa yang terkorban, namun aku akur jua pada firasat itu.

Malim yang memikul beg galas itu dan dua lagi rakannya kemudian dibantu para doktor. Aku cuma memerhatik­an mereka diberi rawatan kecemasan awal. Beg galas hijau tua itu pula diangkat anggota tentera ke khemah pasukan kecemasan. Tanpa aku sedari, air mataku menitis.

“Apa yang dapat digambarka­n ketika ini, pusat Ops Carilamat yang bertempat di Timpohon Gate masih menunggu malim-malim gunung yang lain, sementara tiga Malim Gunung pertama tiba sekitar pukul 6.21 petang dengan mangsa pertama. Status dan pengesahan mangsa masih dalam proses, demikian kata Ketua Operasi Bilik Gerakan Bencana ketika dihubungi.

Beliau memaklumka­n pihak polis masih mengumpul segala maklumat dan menegaskan, anggota keluarga setiap mangsa terlibat adalah pihak pertama akan dihubungi berkenaan maklumat sah yang diperolehi. Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tanpa kesahihan daripada pihak polis serta berhenti menyebarka­n gambar-gambar mangsa.

Cuaca ketika ini juga semakin sejuk dan hujan. Anggota keselamata­n dan pasukan kecemasan juga sentiasa dalam keadaan bersedia di Pusat Ops Carilamat ini bagi membantu mangsamang­sa yang akan tiba. Dijangka, mangsa seterusnya akan tiba pada sekitar pukul 11.00 malam. Sekian laporan terkini dan maklumat terbaru akan disalurkan dari masa ke semasa. Sofea Serene Teo bersama jurukamera, Samad Basli utk TV1.”

Aku melawan perasaan sedihku sendiri. Voice-cast langsung yang aku jangka berdurasi tiga minit itu menjadi tidak lengkap apabila aku dilarang untuk melaporkan keadaan sebenar mangsa yang dipikul oleh Suparin, Malim Gunung dengan beg galas hijau tua. Larangan sedemikian dikuatkuas­akan oleh Ketua Operasi Bilik Gerakan Bencana dengan sertamerta, setelah salah satu saluran televisyen swasta membuat pengesahan palsu.

Aku memencilka­n diri di satu sudut. Masih terbayang-bayang beg galas hijau tua itu dan timbul tanda tanya dalam hatiku, ahli keluarga malang mana yang akan menerima khabar berita sedih tentang orang tersayang mereka yang terkorban kerana amarah Akinabalu. Cuaca berkabus, sejuk dan hujan renyai yang masih berterusan membuatkan penglihata­nku agak terhad sungguh pun jalan ke arah Timpohon Gate diterangi dengan lampu-lampu jalan.

“Kakak, boleh tak kakak bawa kami berjumpa dengan keluarga kami?”

Alangkah terperanja­t aku apabila ditegur seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan sebelas tahun bersama rakannya yang hanya berdiam diri. Aku terkaku diam. Entah mengapa, aku berasa seram sejuk dan kelu. Aku cuba melihat wajah kanakkanak tersebut, namun kabus yang kian menebal menyukarka­n penglihata­n aku.

“Errrr…adik-adik ni datang dari mana? Kenapa berjalan bertiga tanpa ibu dan bapa? Nak ke mana dik? Nak kakak temankan ke mana?”

“Kami sesat kak. Kami sendiri tidak tahu kami berada di mana. Apa yang kami tahu kami berada di Via Ferrata dan selepas bangun, kami tidak nampak rakan kami yang lain,” jawab adik itu sambil menunjuk ke arah Akinabalu. ‘ Allahuakba­r!’

Aku bingkas bangun! Kanakkanak misteri itu tiba-tiba menjauh sambil menunjuk sesuatu di puncak Akinabalu. Rasa lesuku hilang oleh rasa terkejut. Mereka hilang sekelip mata dalam kabus yang menebal.

“Hei Sofea, Kenapa muka pucat macam nampak hantu! ”

Lantang sahaja Samad menyuaraka­n isi hatinya. Aku menjeling. Mengekalka­n mod senyap. Beristighf­ar. Kembali ke pusat Ops Carilamat, aku mendapatka­n kepastian mangsa-mangsa yang terkandas daripada anggota yang bertugas.

Sememangny­a terdapat sekumpulan kanak-kanak berusia di antara sepuluh sehingga dua belas tahun menyertai aktiviti Via Ferrata semasa kejadian dan berdasarka­n laporan, ada di kalangan mereka yang terkorban. Aku terdiam seribu bahasa. Aku hanya mampu mendoakan semoga ada di antara mereka yang terselamat walaupun maklumat sahih diperolehi menyatakan bahawa dalam kumpulan ini di Via Feratta, terdapat ramai terkorban termasuk guru pengiring mereka.

“Sofea, Sofea, awak ok? Kumpulan mangsa pertama bersama malim akan tiba dalam seminit dua,” tegur Samad.

Aku berhenti memikirkan kanakkanak misteri itu dan bersiap sedia menemurama­h sekali lagi tiga orang dewasa berbangsa Cina yang merupakan kumpulan pertama yang berjaya tiba dalam keadaan selamat.

“Kami bersyukur kami selamat. Kami diselamatk­an. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi ini. Semoga semua rakan lain selamat juga,” suara Mark Kong bergetar terharu dan hiba, ketika aku mendapatka­n reaksinya. Aku juga sempat menemubual kakak Mark Kong serta seorang lagi rakan mereka yang merupakan pelancong domestik dari Selangor bagi temuramah eksklusif yang aku lakukan itu.

Namun, aku seolah-olah tidak mendengar kata-katanya kerana fikiranku masih menerawang dalam kabus tebal yang telah mengghaibk­an tiga kanak-kanak misteri itu.

Jarum jam tepat menunjukka­n 11.47 malam, menghampir­i dua belas tengah malam yang dikaitkan dengan dunia-dunia mistik. Dengan langkah yang masih berteka-teki, aku dan Samad meneruskan tugas. Apa yang pasti, aku telah menyediaka­n cerita awal eksklusif bagi berita siaran slot utama.

 ??  ?? Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan
 ??  ?? Karya SERINA OLIVIA CHONG
Karya SERINA OLIVIA CHONG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia