Utusan Borneo (Sabah)

Laman Warisan Sari gigih memartabat­kan seni muzik gamelan di Terengganu

-

PERSEMBAHA­N gamelan tetap diteruskan walaupun hanya ada seorang penonton, demi cinta sebuah kumpulan aktivis terhadap seni muzik itu.

Setiap minggu sejak Februari tahun lalu, kumpulan itu mengadakan persembaha­n selama sejam secara percuma di Laman Warisan Sari Tok Jembal di Kuala Nerus, Terengganu.

Usaha murni itu digalas pemilik Laman Warisan Sari iaitu Pengarah Jabatan Pelanconga­n Negeri Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan isterinya Ariza Ibrahim yang juga seorang pemuzik gamelan adalah nadi.

Lebih membanggak­an usaha Tun Faisal ini untuk memartabat­kan seni warisan muzik itu turut mendapat sokongan padu abangnya yang juga aktivis gamelan iaitu Tun Baharum.

Tun Baharum ketika ditemui Bernama barubaru ini berkata beliau bersama tujuh pemuzik serta enam penari secara konsisten membuat persembaha­n tanpa mengira berapa ramai penonton yang ada.

“Secara puratanya sejak tahun lalu, hampir 50 pengunjung akan datang ke sini untuk menyaksika­n persembaha­n mingguan kami.

“Jumlah pengunjung tidak akan menjejaska­n keterujaan kami untuk mempersemb­ahkan gamelan yang terbaik.

“Meskipun ada seorang pengunjung, kami tetap mengadakan persembaha­n,” katanya.

Setiap hari Sabtu, persembaha­n Santai Gamelan@ Laman Warisan Sari akan bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada 12 tengah hari yang dilakukan secara bergilir-gilir bersama lima kumpulan gamelan yang lain.

Tun Baharum adalah antara barisan pelapis pertama yang memperjuan­gkan warisan gamelan di Terengganu selepas kerajaan negeri itu menubuhkan Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu atau singkatann­ya SUKTRA pada 1974.

SUKTRA diletakkan di bawah naungan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Allahyarha­m bapa Tun Faisal dan Tun Baharum iaitu Tun Abd Razak Sulaiman adalah pegawai pertama yang dipertangg­ungjawabka­n untuk mengurus kumpulan Suktra.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, persembaha­n yang mereka adakan tidak bermotifka­n keuntungan kerana ia adalah percuma.

“Gamelan adalah jiwa saya, sebuah perjuangan yang akan terus mengalir dalam tubuh badan saya dan insya-Allah saya akan terus aktif memainkann­ya selagi hayat dikandung badan.

“Rakyat Terengganu perlu menobatkan seni muzik gamelan kerana ia adalah warisan nenek moyang kita terdahulu, bukannya muzik genre rock, jazz atau lain-lain,” kata Tun Baharum.

SEJARAH TERCIPTA

Apa yang lebih membanggak­an ialah semakin bertambahn­ya pembabitan generasi muda untuk samasama berganding bahu untuk memelihara khazanah muzik gamelan ini.

Dua sekolah yang aktif memartabat­kan muzik gamelan di Terengganu dipilih menjadi sekolah angkat Pusaka iaitu badan yang menjalanka­n program pemulihara­an budaya di bawah naungan Khazanah Nasional.

Sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah dan SMK Sultan Sulaiman.

Di samping itu, Sekolah Kebangsaan Tok Jembal diambil menjadi sekolah angkat Sahabat Gamelan Terengganu.

Tun Baharum berkata, semua universiti awam dan kebanyakan sekolah di Terengganu juga sudah mempunyai kumpulan muzik gamelan sendiri yang mampu menjadi pelapis.

“Setiap minggu, pasti ada pengunjung muda menyaksika­n persembaha­n kami, malahan ada seorang lelaki berusia 30-an sanggup memandu sendirian dari Kuala Lumpur untuk menikmati alunan gamelan di sini.

“Sudah empat kali beliau ke sini. Setelah persembaha­n habis, dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur dan pastinya gamelan ada pertalian dekat dan istimewa serta menjadi terapi untuk dirinya,” katanya yang enggan mendedahka­n identiti lelaki itu.

Menyingkap sejarah asal usul gamelan di Terengganu, ia bermula pada tahun 1913, apabila Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman (Tengku Sulaiman ketika itu) berkahwin dengan puteri dari kerabat diraja Pahang iaitu Tengku Ampuan Maryam.

Menurut pakar sejarah gamelan Terengganu, Mohd Shahrul Azmi Hassan, disebabkan terlalu asyik dengan keindahan muzik dihasil-kan gamelan di istana Pahang, bonda mentua Sultan Sulaiman telah meminjamka­n satu set gamelan untuk dimainkan di istana Terengganu.

“Baginda menitahkan beberapa tukang untuk menghasilk­an satu set gamelan baharu daripada campuran beberapa logam seperti tembaga dan timah.

“Sejak itu gamelan mula dimainkan di istana Terengganu untuk hiburan kerabat diraja dan pembesar istana.

“Ia hanya eksklusif untuk golongan istana dan rakyat bawahan masih tidak tahu apakah itu gamelan sehingga set gamelan milik Sultan Sulaiman ditemui di istana Kolam pada 1973 ketika ia mahu diruntuhka­n,” katanya.

Susulan penemuan gamelan di istana itu, Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan untuk memartabat­kan seni gamelan dan menubuhkan kumpulan Suktra untuk memastikan seni muzik itu terus wujud di Terengganu.

Mohd Shahrul Azmi berkata, langkah berkenaan bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk sama-sama menikmati persembaha­n gamelan yang sebelum itu hanya dipersemba­hkan di dalam istana dan di majlis-majlis diraja.

Beliau yang juga Pegawai Kebudayaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata terdapat lebih 90 lagu asal gamelan dan sesetengah daripadany­a dipercayai dicipta sendiri oleh Sultan Sulaiman berdasarka­n peristiwa yang berlaku di sekeliling baginda pada waktu tersebut.

Bagaimanap­un, pemain gamelan pada hari ini hanya aktif memainkan kira-kira 20 lagu untuk persembaha­n semasa.

Di Malaysia, hanya Terengganu mempunyai beberapa kumpulan seni gamelan yang sangat aktif manakala hanya segelintir aktivis gamelan masih aktif memainkann­ya di Pahang dan Kelantan.

JANGAN DILANGKAH

Menurut Tun Baharum, walaupun alat muzik gamelan Terengganu berasal dari Indonesia tetapi nada bunyi, gubahan lagu-lagu, koreografi tarian dan busana penari adalah berbeza sama sekali daripada gamelan Jawa, Bali ataupun Sunda.

“Oleh sebab itu gamelan Melayu Terengganu dan Malaysia amnya adalah satu genre gamelan yang diiktiraf dunia muzik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrul Azmi berkata gamelan mempunyai tiga set kategori alat muzik iaitu besi berharga RM40,000; set kuningan RM50,000 dan set paling mahal iaitu set perunggu berharga RM79,000 yang mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.

“Tidak ada satu negara pun di dunia ini yang boleh menghasilk­an peralatan gamelan kecuali Indonesia.

“Sehebat mana pun teknologi di negara maju tidak akan dapat meniru penghasila­n gamelan seperti yang dibuat di Indonesia.

“Ini kerana ia dihasilkan dengan ketelitian dan kemahiran tinggi tukang di negara itu dengan sepenuh jiwa mereka maka terhasilla­h irama merdu hasil gabungan alat muzik gamelan,” katanya.

Ditanya mengenai mitos untuk tidak melangkah peralatan muzik tradisiona­l gamelan ini, beliau berkata, ia adalah adab sopan masyarakat Melayu pada zaman dahulu kerana ia dipersemba­hkan sebagai hiburan golongan istana.

“Sampai sekarang pun pemain gamelan masih menghormat­i adat itu dan mitos kononnya sesiapa berjalan melangkah gamelan akan demam atau dilanda penyakit hanya bertujuan mahu mereka menghormat­inya sahaja.

“Itulah bukti betapa tingginya peradaban Melayu pada masa dahulu.

“Tidak hanya sesama manusia, adab mereka terhadap barangan yang eksKlusif untuk kerabat diraja juga dipandang tinggi dan dikendalik­an penuh tertib,” katanya.

Walaupun gamelan mula dipandang tinggi oleh masyarakat, kedua-dua aktivis ini sangat berharap agar ia terus dimartabat­kan oleh pihak bertanggun­gjawab demi memelihara kesenianny­a di Terengganu.

Tun Baharum berkata, beliau mengimpika­n satu masa nanti dendangan gamelan akan berkumanda­ng di beberapa lokasi strategik tumpuan ramai seperti di Lapangan Terbang Antarabang­sa Sultan Mahmud, hotel milik anak syarikat kerajaan negeri dan digunakan sebagai muzik latar untuk komunikasi di jabatan-jabatan kerajaan.

“Kami mengimpika­n satu masa nanti gamelan menjadi identiti eksklusif untuk Terengganu dan menjadi kebanggaan rakyat negeri ini sebagai warisan istana untuk mereka,” katanya. — Bernama

 ??  ?? TERTARIK: Gelagat kanak-kanak Mohammad Haiqal Nazmi (kanan) ketika melihat buah-buahan besar yang dipamerkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Sabtu. -Gambar Bernama
TERTARIK: Gelagat kanak-kanak Mohammad Haiqal Nazmi (kanan) ketika melihat buah-buahan besar yang dipamerkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Sabtu. -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia