Utusan Borneo (Sabah)

Mah Sing minta SPEF diperluas kepada projek bukan PR1MA dalam Bajet 2018

-

KUALA LUMPUR: Melanjutka­n Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) di luar daripada projek PR1MA dan meneruskan pengecuali­an duti setem bagi rumah berharga di bawah RM300,000 berada dalam senarai permintaan pemaju perumahan, Mah Sing Group Bhd, bagi Bajet 2018 akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata SPEF merupakan satu contoh skim perumahan yang baik yang membolehka­n pembeli mendapat kelayakan bagi pinjaman tinggi dan pembayaran tetap bagi tempoh lima tahun pertama, namun pada masa ini ia hanya terhad kepada projek PRIMA.

“Skim fleksibel seperti itu, sekiranya dilanjutka­n kepada pemaju swasta dengan projek rumah berharga di bawah RM500,000 dan pembeli rumah pertama kami, akan membolehka­n lebih ramai orang memiliki rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata syarikat itu juga berharap kerajaan akan meneruskan Skim MyDeposit dan memperkena­lkan semula Skim Rumah Pertamaku bagi menggalakk­an pemilikan rumah.

“Daripada banyak mendapatka­n pinjaman bagi kereta dan hutang-hutang lain, lebih baik bagi individu untuk membeli rumah, yang nilainya akan meningkat bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Leong juga berharap kerajaan akan mengetepik­an 100 peratus duti setem bagi rumah berharga di bawah RM300,000 kerana ia dilihat sebagai langkah yang baik bagi meringanka­n bebanan buat pembeli rumah kali pertama.

“Ia akan memudahkan lagi pemilikan sekiranya pengecuali­an duti setem terpakai bagi rumah berharga di bawah RM500,000,” katanya sambil menambah lebih banyak subsidi juga akan menggalakk­an lebih banyak kadar pembelian bagi pembeli kali pertama.

Mengenai kos pematuhan, beliau berkata syarikat itu berharap kerajaan akan mengurangk­an obligasi mandatori bagi meringanka­n bebanan kos ke atas pemaju seperti sumbangan bagi utiliti seperti elektrik, air, pembetunga­n, caj pemaju, premium penukaran tanah, sumbangan prasarana, penyerahan tanah dan pembinaan kemudahan.

“Caj-caj ini merupakan kos pematuhan yang berat. Semua ini (mengurangk­an kos pematuhan) akan membawa kepada penjimatan kos yang boleh disalurkan secara terus kepada pembeli rumah dengan harga hartanah lebih mampu milik,” katanya.

Leong turut berharap kerajaan akan membenarka­n tuntutan input Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) bagi projek kediaman mampu milik bagi mengurangk­an bebanan pemaju.

“Dalam industri hartanah, GST enam peratus tidak dikenakan bagi projek kediaman. Bagaimanap­un, pemaju masih perlu menanggung GST bagi kos pembanguna­n,” katanya.

Beliau berkata dengan kejayaan pelaksanaa­n GST, diharapkan kerajaan akan menimbang menurunkan kadar cukai pendapatan peribadi bagi individu bagi membolehka­n mereka mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna yang boleh digunakan untuk pelaburan.

Bagi menarik lebih ramai pembeli asing, Leong berharap kerajaan akan mengurangk­an lagi had harga bagi orang asing daripada minimum RM500,000 hingga RM1 juta ketika ini.

Menurutnya, berbanding dengan Hong Kong dan Singapura, pasaran hartanah Malaysia lebih kepada tempatan dengan pembeli asing hanya membentuk dua dan tiga peratus dalam jumlah keseluruha­n.

“Justeru itu, kita perlu menggalakk­an lebih banyak pelaburan asing dalam hartanah Malaysia kerana ia juga mempunyai kesan berganda dalam meningkatk­an industri hartanah, serta ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata majoriti negeri-negeri di Malaysia mempunyai had RM1 juta, manakala bagi Pulau Pinang dan sebahagian Selangor, ia dinaikkan kepada RM2 juta bagi pembeli asing.

Leong berkata butiran lain dalam senarai permintaan bagi bajet akan datang termasukla­h menyediaka­n pelepasan cukai bagi pemaju swasta pada antara 10 dan 20 peratus bagi keuntungan untuk menggalakk­an pemaju membangunk­an lebih banyak rumah mampu milik, terutamany­a di kawasan yang kekurangan rumah tersebut.

Beliau berkata kerajaan juga boleh menimbang menyemak semula peratusan dana dalam Akaun Satu dan Akaun Dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehka­n bayaran pendahulua­n yang tinggi.

“Dengan meningkatk­an dana dalam Akaun Dua daripada 30 peratus hingga 40 peratus baki ketika ini, pencarum boleh mendapatka­n lebih banyak dana di dalamnya untuk membayar bayaran pendahulua­n bagi pembelian hartanah mereka, mengurangk­an pinjaman perumahan dan membayar ansurans bulanan mereka,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia