Utusan Borneo (Sabah)

62 sekolah, badan keagamaan bukan Islam terima bantuan kewangan bernilai RM4.075 juta

- Oleh NOORASVILL­A MUHAMMA

SANDAKAN: Sebanyak 62 sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di bahagian pantai timur telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM4.075 juta daripada kerajaan negeri bagi tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM1.59 juta adalah untuk 35 sekolah termasuk sekolah persendiri­an Cina, sekolah mubaligh dan tadika, manakala RM2.485 juta untuk badan keagamaan bukan Islam seperti gereja serta kuil Cina, Hindu dan Sikh.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman percaya dengan sumbangan itu, sekolahsek­olah dan badan-badan keagamaan bukan Islam akan dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan kewangan untuk menampung kos operasi harian, menjalanka­n program berkaitan serta penambahba­ikan institusi dan badan keagamaan masing-masing.

“Saya berasa gembira apabila menerima maklumbala­s bahawa peruntukan pada tahun-tahun yang lepas telah digunakan dengan cekap untuk membuat pembaikan, penambahan dan pembelian keperluan untuk tempat ibadat dan sekolah.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kita telah melakukan yang terbaik untuk memperuntu­kkan sejumlah besar peruntukan yang kita mampu. Dengan pengurusan kewangan yang berhemat, Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya meningkatk­an peruntukan tahunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaia­n Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Sabah kepada Sekolah-Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2017 bagi Bahagian Pantai Timur (Sandakan), di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembanguna­n Perindustr­ian Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang, Presiden Majlis Perbandara­n Sandakan Datuk Ir James Wong serta para pemimpin dan wakil penerima.

Musa berkata walaupun program peningkata­n sosio ekonomi memerlukan dana, kerajaan negeri akan terus membantu sekolah persendiri­an Cina dan sekolah swasta, begitu juga sekolah jenis kebangsaan dan tadika.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian serius kepada pembanguna­n pendidikan dan akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pembanguna­n di bandar dan luar bandar.

Hubungan erat dengan kerajaan Pusat juga memberi platform untuk mencari penyelesai­an terbaik dalam meningkatk­an kemudahan yang membolehka­n pengajaran serta pembelajar­an lebih berkesan dan seterusnya meningkatk­an tahap pendidikan di Sabah.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggun­gjawab, kita sentiasa membela nasib rakyat termasukla­h membantu sekolah-sekolah dan pertubuhan agama yang mewakili pelbagai kepercayaa­n dan agama di negeri ini,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri telah menyalurka­n sebanyak RM31.44 juta bagi bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh negeri. Ia merupakan peruntukan terbesar berbanding tahuntahun sebelum ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia