Utusan Borneo (Sabah)

Tiga penjawat awam dilepas tanpa dibebas tuduhan rasuah

- - Oleh CLARICE USOP

KOTA KINABALU: Tiga penjawat awam dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima dan meminta rasuah daripada dua wanita.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu terhadap Nur Faera Abdul Muttalip, 27, Mohammad Johary Ashgar, 35, dan Mesran Kasse, 32, yang mana pada Isnin sepatutnya untuk sambungan perbicaraa­n.

Pertimbang­an berkenaan dibuat mahkamah, setelah meneliti saksi utama iaitu pengadu tidak dapat dikesan untukmembe­rikanketer­angan dan ketiga-tiga tertuduh sedang digantung pekerjaan.

Bagaimanap­un, pihak pendakwaan boleh mendakwa semula ketiga-tiga tertuduh, sekiranya berjaya mengesan semula saksi untuk hadir dan memberikan keterangan.

Nur Faera dan Mohamad Johary yang berpangkat konstabel dan lans koperal dengan niat bersama, meminta suapan sebanyak RM700 daripada Melati Sahi agar tidak mengambil tindakan terhadapny­a.

Kesalahan dilakukan pada 9 November 2015 jam 6 pagi hingga 7 pagi, di Jalan Tun Fuad Stephens, di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut manamana yang lebih tinggi.

Pada 7 November 2015 jam 6 pagi hingga 7 pagi, di tempat sama, mereka bersetuju menerima suapan sebanyak RM400 daripada Melati, untuk tujuan sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) akta sama, memperuntu­kkan hukuman yang sama.

Manakala Mesran sebagai lans koperal didakwa atas empat pertuduhan menerima dan meminta suapan daripada Melati dan Rafida Abdul Said.

Pertama dan kedua, tertuduh didakwa meminta masing-masing sebanyak RM150 daripada Melati dan Rafida, agar tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak memiliki dokumen diri.

Ketiga dan keempat, tertuduh setuju menerima masing-masing RM150 daripada Melati dan Rafida melalui Sitti Aina Kadil, untuk tujuan yang sama.

Semua kesalahan berkenaan dilakukan pada 11 November 2015 jam 6 pagi hingga jam 7 pagi di hadapan Balai Polis Kota Kinabalu, di sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia