Utusan Borneo (Sabah)

Tanaman kenaf masih belum mendapat sambutan: LKTN

-

JITRA: Kekurangan maklumat dalam kalangan pekebun kecil mengenai potensi besar tanaman kenaf menyebabka­n jumlah keluasan tanaman itu di seluruh negara masih kecil iaitu hanya sekitar 2,000 hingga 2,500 hektar setahun.

Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Datuk Mohd Adhan Kechik berkatapih­aknya masih belum mendapat sambutan baik dan ini dikhuatiri menyukarka­n LKTN untuk mencapai sasaran 10,000 hektar setahun dengan nilai jualan lebih RM10 juta menjelang 2020.

“Yang kita jual dalam bentuk eskport sekarang ini (tanaman kenaf) sudah lebih RM1 juta dan jumlah ini masih kecil kerana kita juga guna untuk kegunaan tempatan seperti pembuatan tilam, kraf dan beg tangan.

“Kalau untuk permintaan dunia, ia tidak terhad kerana mendapat permintaan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pusat Khidmat 1Komoditi (1GSC) di Pejabat LKTN di sini hari ini yang disempurna­kan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladanga­n dan Komoditi (MPIC), Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Keluasan terbesar kenaf terdapat di Kelantan dan Pahang dengan masing-masing seluas 800 hektar dan diikuti dengan Terengganu seluas 400 hektar dan bakinya di Kedah, Perlis, Perak dan Johor yang melibatkan 1,500 penanam.

Tanaman kenaf di Kedah dan Perlis adalah untuk mendapatka­n biji benih manakala di negeri lain ia adalah untuk gentian dan empulur yang mempunyai potensi besar dalam aplikasi komersial pelbagai industri.

Mohd Adhan berkata penubuhan 1GSC membolehka­n maklumat berkaitan komoditi seperti kelapa sawit, getah, kayu, koko, lada hitam, kenaf dan tembakau disediakan di bawah satu bumbung.

“Ia juga merupakan platform bagi kementeria­n dan agensi di bawahnya untuk membantu menyelesai­kan permasalah­an kumpulan sasar iaitu pekebun kecil komoditi,” katanya.

Sehingga kini MPIC menubuhkan enam pusat 1GSC di seluruh negara.

Dalam pada itu katanya, LTKN juga berhasrat untuk memperkemb­angkan tanaman kenaf secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu di sesebuah negeri sahaja.

“Macam di utara (Kedah/ Perlis), kita juga akan fokus kepada industri berasaskan hiliran kenaf dan tidak hanya menumpukan kepada pengeluara­n biji benih seperti sekarang,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia