Utusan Borneo (Sabah)

Lapan termasuk tiga wanita ditahan kes samun jongkong emas

-

KEPALA BATAS: Polis menahan lapan individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan kejadian sekumpulan lelaki bersenjata­kan kapak dan penukul melarikan beg berisi jongkong emas dan barangbara­ng kemas seberat 11 kilogram bernilai RM1.9 juta dari sebuah kilang memproses emas di Jalan Siram, di sini 25 Sept lepas.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan enam individu berusia lingkungan 30 dan 40 tahun itu di sekitar Cheras, Kuala Lumpur pada 29 Sept lepas dan selebihnya di dua kawasan di Johor keesokanny­a.

“Susulan penahanan mereka polis berjaya menemui semula dua jongkong emas bernilai lebih RM360,000 bersama seorang daripada lelaki yang kami tahan itu dan berdasarka­n siasatan juga cap jari lelaki berkenaan turut dikesan pada kereta yang kumpulan tersebut gunakan ketika menyamun jongkong serta barang kemas berkenaan.

“Siasatan awal juga mendapati mereka telah menjual sebahagian jongkong serta barang-barang kemas yang mereka samun itu kepada pembeli dan polis minta mereka yang membeli agar menyerah diri bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Kontinjen Pulau Pinang, di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, tiga lelaki turun dari kereta jenis Perodua Bezza berwarna merah berhampira­n kilang itu dan menyerang dua lelaki membawa beg berisi emas dan barang-barang kemas.

Dalam pada itu, Roslee berkata polis sedang mengesan beberapa lagi lelaki yang merupakan anggota kumpulan itu bagi membantu siasatan kes berkenaan dan pihaknya percaya dapat menyelesai­kan kes samun tersebut dalam masa terdekat.

Polis percaya suspek yang terlibat dalam kejadian itu masih berada di dalam negara bersama jongkong serta barangan kemas yang disamun mereka, katanya.

Beliau berkata polis juga mendapat beberapa petunjuk baharu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan dan tidak menolak kemungkina­n kejadian samun itu mempunyai kaitan dengan orang dalam yang bekerja di kilang memproses emas tersebut.

Katanya tiga wanita yang ditahan itu adalah isteri kepada lelaki-lelaki yang ditangkap dan setakat ini tiada orang dalam yang ditahan, namun polis tidak tolak kemungkina­n akan menahan mereka untuk siasatan.

Beliau berkata lima lelaki yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah berkaitan samun dan curi bersama tiga wanita tersebut, dan mereka kini direman sehingga 5 Okt ini untuk membantu siasatan. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia