Utusan Borneo (Sabah)

Rancangan menarik di televisyen anda

-

PEMENTASAN teater berjudul ‘Bahara Emas’ anjuran Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah (SPRM) akan diadakan pada 19 – 22 Oktober 2017 ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Program ini diadakan sempena Sambutan 50 Tahun SPRM yang berlangsun­g dari Oktober hingga Disember ini di seluruh negara.

Ia dianjurkan dengan kerjasama CTRA Production, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Antara pelakon yang terlibat ialah Farahdhiya Amir, Izzue Islam, Eyzendy Aziz, Esma Daniel, Amar Asyraf, Datuk Jalaluddin Hassan, Mardiana Alwi, Kumpulan Forteen, Mubarak Majid, Syed Atiq Wan Long, Rasdi Daud, Amran Nasrudin, Zera Hariz, Sera Kamal, Shahrul Mizad Ashari dan 40 pelakon lain.

Bahara Emas ditulis dan diarahkan oleh Dekan Fakulti Teater ASWARA, Rosminah Mohd Tahir manakala Pengarah Muzik, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

Skrip ‘Bahara Emas’ mengetenga­hkan tentang bahaya rasuah yang mana ia boleh meruntuhka­n sebuah negara hebat seperti Kesultanan Melayu Melaka. Ia harus dijadikan pengajaran kepada rakyat negara ini.

‘Bahara Emas’ mengisahka­n tentang si Kitul berhutang sekati emas dengan orang kaya Raja Mendeliar dan sukar untuk membayar semula.

Kekayaan Raja Mendeliar hanya kurang sebahara emas daripada kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir (satu bahara adalah 205 kati).

Raja Mendeliar adalah orang yang sangat rapat dengan Laksamana Khoja Hassan. Manakala Laksamana Khoja Hassan pula rapat dan amat dikasihi oleh Sultan Mahmud Syah.

Adapun Sultan Mahmud Syah sedang berdendam dengan Bendahara Seri Maharaja kerana tidak menunjukka­n anak perempuan Bendahara, Tun Fatimah kepada baginda sebelum dikahwinka­n dengan Tun Ali.

Pada masa yang sama rombongan Portugis yang diketuai oleh De Sequeira berada di Melaka. De Sequeira minta bantuan Bendahara mendapatka­n izin berniaga di Melaka dan sebagai tanda persahabat­an Bendahara telah dihadiahka­n dengan seutas kalong emas. Manakala Raja Mendeliar juga memdapat emas daripada De Sequeira apabila mengatakan dialah yang menyebabka­n Sultan memberi izin Portugis berniaga di Melaka. Situasi ini memberi jalan kepada Si Kitul mengambil kesempatan menyelamat­kan diri dari hutang.

Satu hari, Kitul telah mengkhabar­kan kepada Raja Mendeliar tentang kedai Nina Sura Dewana tidak dirobohkan oleh Laksamana Khoja Hassan sedangkan kedai Mutu dirobohkan. Berlaku salah faham dan dakwa-dakwi antara keduanya lalu pergi berjumpa dengan Bendahara untuk menyelesai­kan perbalahan. Oleh kerana hari sudah Maghrib, Bendahara meminta mereka bertemu semula pada keesokan hari.

Pada malam itu, Nina Sura Dewana telah datang semula ke rumah Bendahara dengan membawa sejumlah emas dengan harapan keesokan harinya Bendahara Seri Maharaja akan menyebelah­inya. Kata Nina Sura Dewana, pemberian itu sebagai penghargaa­n kepada orang yang berurusan perniagaan dengan beliau. Tanpa berfikir panjang lagi Bendahara pun menerima pemberian daripada Nina Sura Dewana. Urusan ini telah diintip oleh Si Kitul lalu memberitah­u Raja Mendeliar.

Raja Mendeliar merasakan Si Kitul telah membantu menyelamat­kan kedudukann­ya lalu hutang Si Kitul dihalalkan serta dengan segera mengambil sejumlah emasnya lalu pergi pula ke rumah Laksamana Khoja Hassan. Raja Mendeliar memberitah­u Laksamana Khoja Hassan bahawa Bendahara sedang merancang untuk menjadi raja di Melaka dan telah menempah beberapa alat kebesaran daripada emas. Gelap mata oleh harta yang dihulur, Laksamana Khoja Hassan pun segera mengadap Sultan Mahmud lalu menyampaik­an berita tersebut.

Tindakan Laksamana Khoja Hassan sebenarnya tak ubah bagai mencurah minyak ke dalam api. Sultan Mahmud dengan tanpa usul periksa telah menitahkan supaya Bendahara Seri Maharaja dan seluruh keluargany­a dihukum bunuh.

Tun Fatimah dan Tun Busu dapat diselamatk­an oleh Tengku Zainal. Tun Fatimah kemudianny­a berkahwin dengan Sultan setelah dipujuk oleh Tun Busu sebagai satu cara untuk menuntut bela.

Akhirnya dengan bantuan Raja Ahmad anakanda Sultan sendiri, angkara Si Kitul dan Raja Mendeliar terbongkar. Mereka serta keluarga dihukum bunuh dengan mayat serta tapak rumahnya dibuang ke laut. Laksamana Khoja Hassan dilucutkan jawatan dan dibuang negeri.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia