Utusan Borneo (Sabah)

Dua lagi ditahan bantu siasatan kes pemburuan penyu

-

KOTA KINABALU: Dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kes pemburuan penyu yang berlaku di Pulau Bum Bum Semporna, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Augustine Tuuga.

Beliau berkata kedua-dua individu masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 40an dan 30an ditahan di Kampung Amboh-Amboh Pulau Bum Bum, Semporna. Kenyataan keduadua suspek akan direkodkan bagi membantu siasatan.

“Dijangka lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya.

Menurutnya suspek utama kes itu masih belum dapat ditangkap berikutan kesukaran mengenalpa­sti kedudukan suspek. Namun, pencarian terhadap suspek akan diteruskan dengan bantuan Polis Marin Semporna, Taman-Taman Sabah dan WWF Malaysia.

Dalam perkembang­an pembunuhan gajah di Kinabatang­an, siasatan akan diteruskan di kawasan hulu sungai.

Rumah suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu sudah digeledah pada pagi Selasa dan pencarian itu hanya menemukan bahagian haiwan terlindung lain yang disimpan di dalam rumah itu.

Ketika operasi itu, dua lelaki warga Indonesia turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didapati memiliki bahagian haiwan dilindungi iaitu rusa dan babi hutan (bearded pig).

Operasi geledah dan tangkapan warga Indonesia itu dilakukan oleh ranger JHL yang dibantu oleh pegawai polis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia