Utusan Borneo (Sabah)

Pecah botol arak depan SUK: Jamal, tujuh lelaki ditahan

-

SHAH ALAM:Polis menahan Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan tujuh lagi lelaki di sekitar Sekinchan, Sabak Bernam awal pagi Jumaat, berhubung insiden memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata kesemua mereka ditahan kirakira pukul 1.45 pagi.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan berhubung tindakan berhimpun dan memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras di hadapan pintu utama Bangunan SUK.

“Ekoran insiden itu pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Shah Alam telah menerima aduan daripada pengawal keselamata­n yang bertugas semasa kejadian berkenaan.

“...dan satu siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpuna­n haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabka­n kemudarata­n awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpuna­n,” katanya.

Beliau berkata polis akan memohon perintah reman ke atas kesemua mereka yang ditahan di Mahkamah Shah Alam di sini pagi ini, untuk siasatan lanjut kes tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi pada Khamis, Jamal dan anggota gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjura­n pesta arak di negeri itu.

Jamal kemudian bertindak memecahkan kesemua botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut.

Tindakan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata penganjura­n pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsun­g di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandara­n Klang (MPK).-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia