Utusan Borneo (Sabah)

Teliti masalah hakisan tebing sungai, jalan pesisir

-

KUCHING: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak perlu melihat dengan lebih serius masalah hakisan di sepanjang tebingan sungai dan jalan pesisir di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan 2015 yang dikeluarka­n JPS Malaysia menunjukka­n 163 kilometer (km) daripada 1,234 km jalan pesisir di negeri ini berhadapan dengan hakisan yang kritikal.

Hakisan tebingan sungai, katanya, bukan sahaja mengancam penempatan di tebingan sungai seperti Simunjan, Gedong, Lundu dan Batu Kawa, tetapi juga skim pengaliran dan saliran.

“Isu ini melibatkan banyak faktor penyumbang termasuk aspek perancanga­n dan aktiviti pembanguna­n manusia dalam kawasan tadahan dan zon pantai dan akan memerlukan kolaborati­f antara agensi.

“Bagaimanap­un, JPS boleh bekerja dengan kementeria­n saya untuk merumuskan polisi dalam usaha membantu menangani sebahagian isu ini dengan kaedah yang lebih holistik dan inklusif,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 JPS Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, Dr Sim berkata dalam tempoh 50 tahun ini JPS telah memainkan peranan penting dalam memperbaik­i kualiti kehidupan di negeri ini dalam pelbagai sektor.

Dalam bidang pertanian, misalnya, infrastruk­tur pengaliran dan saliran mewujudkan persekitar­an yang kondusif kepada aktiviti pertanian untuk dijalankan dengan mengawal banjir serta air bawah tanah.

Ini, katanya, dapat memperbaik­i hasil tuaian sekali gus meningkatk­an pendapatan pekebun untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Di kawasan bandar pula, JPS memainkan peranan untuk menangani masalah banjir menerusi program tebatan banjir dan saliran bandar.

“Sebagai contoh, Projek Fasa 1 dan 2 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu yang telah siap pada 2015 dengan kos pembinaan RM191 juta adalah satu daripada projek berimpak tinggi yang dijalankan oleh JPS.

“Sejak projek ini siap dilaksanak­an, ia telah mengurangk­an bencana banjir dan sebaik skim ini siap sepenuhnya nanti, bandar Sibu akan dilindungi daripada masalah banjir yang berlaku disebabkan air berlebihan dari Batang Rajang,” katanya.

Dr Sim turut menyambut baik peruntukan besar yang diterima oleh JPS Sarawak iaitu lebih RM800 juta daripada kerajaan pusat dan negeri bagi pelaksanaa­n pelbagai projek pembanguna­n dalam tempoh 2016 hingga 2020.

Justeru, beliau berharap semua projek yang dirancang ini akan berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut kos dan masa yang ditetapkan.

Turut hadir, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil, Pengerusi Majlis Perbandara­n Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, Pengarah JPS Sarawak Chok Moi Soon serta yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia