Utusan Borneo (Sabah)

Sepanyol tempah tiket ke Piala Dunia 2018

-

PARIS: Sepanyol layak untuk Piala Dunia 2018 dengan kemenangan rutin 3-0 ke atas Albania di negara sendiri, tetapi Serbia terpaksa menunggu untuk mengesahka­n tempat mereka ekoran kekalahan 3-2 di Austria.

Rodrigo, Isco dan Thiago Alcantara menjaringk­an gol dalam tempoh 30 minit pertama di Alicante untuk membantu juara dunia 2010 itu mengunci tempat teratas dalam Kumpulan G selepas Itali diikat 1-1 oleh Macedonia di Turin.

Pemain pertahanan Barcelona Gerard Pique disambut dengan ejekan dan tepukan pada penampilan antarabang­sa ke-92 hanya beberapa hari sahaja selepas dia mengundi dalam pungutan suara mengenai kemerdekaa­n Catalan yang dianggap menyalahi undang-undang oleh kerajaan Sepanyol dan dicemari keganasan polis.

“Kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bola sepak,” kata jurulatih Julen Lopetegui kepada stesen TV Sepanyol, Teledeport­e.

“Minggu ini sukar dan rumit dan nasib baik kami berjaya melakukann­ya dalam tempoh 30 minit pertama yang sangat, sangat bagus.”

Itali, juara empat kali Piala Dunia, akan bermain dalam perlawanan play-off pada November selepas gol penyamaan pemain gantian Macedonia Aleksandar Trajkovski pada minit ke77 mengikat gol pada babak pertama jaringan pemain pertahanan veteran Giorgio Chiellini.

“Masih ada satu lagi perlawanan yang tinggal dan kemudian kita akan memikirkan tentang perlawanan play-off. Kita berharap untuk menurunkan semula beberapa pemain,” kata jurulatih Itali Gian Piero Ventura, selepas skuadnya dilemahkan oleh kecederaan yang dialami beberapa pemain penting.

Serbia melepaskan peluang untuk mengesahka­n kelayakan dari Kumpulan D dengan satu lagi perlawanan berbaki apabila Louis Schaub menjaringk­an gol seminit sebelum tamat untuk memberikan kemenangan kepada Austria di Vienna.

Serbia, yang dapat mengesahka­n tempat di Russia dengan kemenangan, mendahului menerusi gol awal jaringan Luka Milivojevi­c tetapi ketinggala­n apabila Austria membalas menerusi usaha Guido Burgstalle­r dan Marko Arnautovic.

Pemain tengah Manchester United Nemanja Matic menyamakan kedudukan pada minit ke-83 sebelum Schaub menyumbat gol kemenangan, tetapi Serbia masih dapat mara jika mereka menewaskan Georgia dalam perlawanan kelayakan terakhir mereka di Belgrade esok (Isnin).

Tom Lawrence menjaringk­an gol antarabang­sa pertamanya untuk membantu Wales mencatatka­n kemenangan 1-0 yang amat penting di Georgia dan memastikan mereka berpeluang cerah untuk menempah tempat di kejohanan akhir.

Penyerang Derby County itu merembat masuk gol kemenangan empat minit selepas waktu rehat di Tbilisi untuk membantu pasukan Chris Coleman kekal satu mata di hadapan Republik Ireland di tempat ketiga.

Pasukan Ireland menewaskan Moldova 2-0 di Dublin menerusi dua jaringan Daryl Murphy pada separuh masa pertama dan sekarang menentang Wales di negara sendiri dalam perlawanan pusingan terakhir dengan tempat pertama dalam kumpulan yang masih menjadi rebutan.

“Apa yang kami dapat buat adalah berusaha dengan gigih dan menjaga urusan kami. Kami ada ujian yang besar pada malam Isnin menentang Republik Ireland. Kami ada pelan permainan dan kita akan lihat ke mana ia membawa kita,” kata Coleman kepada Sky Sports.

Serbia mendahului kumpulan dengan 18 mata manakala Wales, yang mahu mara ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 1958, di tempat kedua dengan 17 mata dan Ireland satu mata lagi di belakang.

Iceland mengambil langkah besar ke arah penampilan sulung di Piala Dunia dengan kemenangan 3-0 yang meyakinkan ke atas Turki di Eskisehir yang hampir pasti menyingkir­kan pasukan tuan rumah.

Johann Gudmundsso­n, Birkir Bjarnason dan Kari Arnason menjaringk­an gol untuk membantu Iceland mendahului Croatia dengan dua mata di tempat teratas Kumpulan I selepas Croatia mencatatka­n keputusan seri 1-1 yang mengecewak­an di negara sendiri dengan Finland yang sudah tersingkir.

Ukraine berkongsi 17 mata dengan Croatia ekoran kemenangan 2-0 di Kosovo dan akan melayan kunjungan Croatia di Kiev hari ini. – AFP

 ?? Gambar AFP ?? PENJAGA gol Albania Etrit Berisha, menghalang percubaan yang dilakukan oleh penyerang Sepanyol Rodrigo Moreno.
Gambar AFP PENJAGA gol Albania Etrit Berisha, menghalang percubaan yang dilakukan oleh penyerang Sepanyol Rodrigo Moreno.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia