Utusan Borneo (Sabah)

Cerpen: Seikhlas Tomyam

- Bersambung di muka B7

AKU tidak pasti, apakah bala tentera khuatir yang menyerangk­u sekarang adalah akibat virus resah yang saling berjangkit di antara wajah peserta yang sedang berdiri dalam posisi ‘senang diri’, di hadapan meja hidangan masing-masing; atau kerana deria rasaku yang kurasa seperti sudah tidak berfungsi lagi?

‘Dalam hidup ini kita sentiasa disuguhkan dengan aneka pilihan. Hanya ada dua keadaan yang kita tidak boleh memilih, iaitu ketika kita lahir dan ketika kita berada dalam sakratulma­ut. Kita dilahirkan begitu saja tanpa kita disoal sama ada mahu lahir atau tidak dan tanpa kita disoal sama ada sudah siap mendiami tanah kubur atau tidak, kita langsung dimatikan begitu saja, tanpa kompromi. Jadi, selagi kita bernyawa, kita sentiasa ada kuasa untuk memilih! Kerana itu, pilihlah hanya yang terbaik dalam hidup ini!’

Seperti ritma sebuah janji, kalimat panjang itu menggema seakan diikrarkan oleh empat orang peserta yang kini siaga untuk dinilai. Posisi mereka diam dan tenang. Tetapi tenang yang tetap saja meriakkan pelbagai rasa yang tersirat lewat air muka masingmasi­ng. Pelbagai rasa namun punya tujuan yang sama. Menjadi Pemenang! Dan itu semakin mengocak danau resahku.

Sarlini bersama hidangan Apam Balik Kayu manisnya. Tapi aku tidak dapat merasa manisnya cinoman atau menghidu aroma ciri khasnya yang apabila aku terbau, mindaku terus dipenuhi oleh kekayaan coklat berlemak kek ‘Black Forest’. Kek Black Forest yang selalu mempamerka­n wajah abang JJ Krisnan, lelaki India kelahiran Singapore yang kini menjadi rakyat Perancis. “You have hurt my heart!”

E-mel lukanya menyambut bangunku pagi tadi, setelah kutolak cintanya semalam.

Aku menghampir­i Aisah dengan resepi Putu Mayan Gula Melakanya. Aku tidak dapat merasa lemak gula yang terhasil dari nyira pokok kelapa yang apabila aku mencicip, ingatanku akan dipenuhi oleh rasa Bukayu sejenis manisan etnik Suluk yang terbuat daripada kelapa muda dan bauran gula tebu. Bukayu yang selalu menyuguhka­n senyum Abraham Tagaran, Lelaki Tausug dari Tawi Tawi Selatan Filipina, yang semalam juga kutolak cintanya.

“Kau bersyukur hidup di Malaysia yang aman, cuba kalau kau di Lupa Sug, sudah lama aku suruh orang-orangku menculikmu!!”

Aku menelan liur masam sambil beralih ke arah Maznah. Maznah dengan resepi Kucung inti daging kambing buah Kemirinya. Aku tidak dapat merasa gurih buah kemiri yang apabila aku kunyah, seleraku meruapkan rasa gurih kuah soto Makasar. Kuah soto Makasar yang selalu mengapungk­an tatapan jeli Andi Suardi. Lelaki Bugis Bone.

“Kau begitu angkuh. Alasan penolakanm­u tidak masuk akal….” Aku sudah lupa

penghujung kalimatnya.

Melangkah gontai, kudekati Selvia. Gadis Kadazan itu siaga dengan resepi kek pisang tapai ubinya. Aku tidak dapat merasa manis masam tapai ubi, yang apabila aku telan, deria rasaku mengesan masam manis tapai tuak nyira mayang pokok Lontar. Lambaian daun Pohon Lontar yang selalu menggamit raut wajah Martinus Huba, pemuda Nusa Tenggara Timur kelahiran Tawau yang minggu lalu kusekat aplikasi Whatsappny­a.

Tapi tiga hari yang lalu, dia muncul di hadapan pintu rumah. Terpaksa kupanggil Kak Imah, dan kakak sulungku itu dapat mengusir Martinus Huba dengan sopan.

Sungguh, demi pancainder­aku, aku sudah tidak dapat menentukan rasa yang pasti untuk keempat hidangan yang terpamer di hadapanku. Aku berkecamuk sekarang. Seperti berkecamuk­nya jiwaku ketika terpaksa menolak kasmaran semua lelaki yang meminatiku. Kutolak cinta mereka bukan kerana mereka tidak layak untukku, tapi aku yang tidak layak untuk mereka. Aku terlalu tua untuk

mereka. Usiaku sudah empat puluh tahun. Duh… apakah kegagalan merasa ini adalah tanda-tanda awal simptom empat puluhan yang mulai menggangu deria rasaku?

Satu persatu wajah peserta itu kuamati. Aku faham mereka sangat berharap aku dapat memberi ulasan pada hidangan yang tadi sudah bertungkus­lumus mereka siapkan. Berkejar ke sana ke mari di antara meja dapur dengan stor makanan kering dan basah. Mencari peralatan memasak dan pinggan mangkuk yang sesuai untuk memuat hidangan berhias masing-masing. Aku dapat merasa perasaan teruja kalut dalam menyiapkan satu-satu hidangan kerana aku pun pernah menjadi perserta pertanding­an seperti mereka. Bukan kemahiran dan kreativiti yang menjadi kerisauan tapi detak jarum pada jam yang terasa menyucuk-nyucuk pergerakan agar pantas menyiapkan masakan.

Tapi malangnya aku masih belum mampu mengulas apalagi memberi penilaian pada hasil masakan mereka. Anak mata yang sering beralih meniti dari wajah ke wajah harap mereka, terasa menegangka­n urat sarafku di seputar kepala. Denyut sakitnya mulai terasa. Peluh merenik di sekitar tengkukku. Cahaya lampu berbinar dan lensa kamera yang terus berputar. Para kru tv yang merakam acara pertanding­an masakan ini sibuk kasak-kusut dengan tugas masing-masing. “Bagaimana ulasan puan?” Juruacara bertanya. Pertanyaan yang tiba-tiba membingitk­an pendengara­nku.

“Errr… saya fikir, baik kita tangguh dulu acara ini,” tanpa berlengah aku menjawab. Aku melepaskan klip mikrofon sambil bergerak menghampir­i Filmorita, puteri sulungku. Aku tak sanggup lagi melihat wajah harap para peserta yang mendadak berubah kecewa. Kecewa yang seperti merangsang migrainku. Aku tidak mahu kejadian pitam ketika menjadi pengadil berulang untuk kali kedua.

“Bonda ok?”

Aku hanya mengangguk. Selepas memberi penerangan pada Pengarah, aku menarik Filmorita keluar dari ruang studio, yang penghawa dinginnya membuat sekujur tubuhku seperti mahu demam.

“Kita pulang.” Itulah tindakan terbaik demi menstabilk­an keadaan diriku yang mulai tidak selesa.

“Kenapa bonda tadi?” Filmorita meletakkan secawan teh Sabah berperisa strawberi. Berada di rumah, duduk santai sambil melunjurka­n kaki di atas sofa berbentuk L, di tengah lima orang puteriku, adalah saat-saat aku berasa paling aman dan paling selesa.

“Bonda berasa tidak sihat dan hanya perlu istirahat,” aku cuba memejamkan mata. Aku tahu jawapan ‘tidak sihat’ akan membuat kelima-lima puteriku berasa tenang. Dan mereka akan segara melakukan apa saja perkara yang dapat mengembali­kan kesihatank­u. Itu biasa dalam keluarga kecilku semenjak ayah mereka berpulang.

“Kami rasa bonda perlu ambil cuti atau paling tidak pergi makan malam dengan seseorang yang istimewa.” Aku mendengar suara Nursahaya puteri ketigaku. Perlahan dia mengangkat kepalaku lalu duduk dan jemarinya mulai mengurut-urut sekitar dahi dan kepalaku yang kini berada di atas pangkuanny­a Aku semakin berasa aman.

“Tadi Uncle Din mesej Yaya. Bertanya tentang khabar bonda?”

Nursahaya selalu membantuku membalas mesej, e-mel atau menjawab panggilan telefon dari sesiapa saja terutama lelaki yang berminat menghampir­iku. Semenjak arwah ayah mereka berpulang, mereka sentiasa memberi ruang untuk lelaki lain menjadi pengganti, tapi selalu pula aku berasa Allah SWT menjadikan puteri-puteriku sebagai asbab untuk aku menolak lamaran setiap lelaki.

“Apa khabarnya dia?” Aku membuka mata sebagai tanda aku berminat pada topik ‘uncle Din’ ini. Aku tahu puteri-puteriku akan senang hati apabila aku memberi respon positif setiap kali mereka buka cerita tentang Uncle Din mereka.

“Uncle Din sihat”.

Din alias Sharifuddi­n adalah sahabat karib arwah suamiku. Bapanya keturunan Bugis kelahiran Johor dan ibunya wanita Thailand kelahiran Padang Besar, Perlis. Mereka menetap di Sandakan semenjak bapanya berkerja sebagai Pengurus Ladang. Puteripute­riku membesar dengan menyaksika­n hubungan akrab arwah ayah mereka dan Uncle Din. Bahkan seperti sebuah drama, ketika saat-saat nazaknya, arwah sempat menitipkan aku dan puteri-puteriku pada Sharifuddi­n; agar Sharifuddi­n menjaga dan sentiasa menolong kami. Bahkan mengamanah­kan agar Sharifuddi­n mengambil aku sebagai isterinya. Itupun kerana Sharifuddi­n masih bujang. Kalau dia sudah beristeri, aku yakin arwah tidak akan meninggalk­an amanah seperti itu. Dan nyatanya Sharifuddi­n masih membujang sampai saat ini, pada usianya yang sudah menjangkau hampir lima puluh tahun.

Betapa bertuahnya aku berbanding dengan Kak Imah atau sekian banyak ibu tunggal yang mendapat tantangan anakanak jika mereka ingin berkahwin lagi. Istimewa wanita-wanita yang berkerjaya dan punya sedikit harta seperti aku. Selalu yang menjadi alasan penolakan itu adalah dikhuatiri para lelaki itu akan mengambil peluang. Dikhuatiri lelaki itu adalah pisau cukur. Apalagi jika lelaki itu lebih muda daripada si ibu tunggal.

Tidak seperti aku, kalau aku mahu pasti sudah lama aku menjadi Puan Sharifuddi­n. Atau puan sekian banyak lelaki yang menghantar rombongan meminang, kerana anak-anak sentiasa memberi isyarat lampu hijau kepada setiap lamaran. Tapi bolehkah aku berpendapa­t seperti itu? Aku belum berkahwin semenjak pemergian arwah, kerana aku menolak lelaki; atau aku dengan mudah berkahwin kerana anak-anak sentiasa menyokong; sedangkan cukup kuyakini; jodoh, kelahiran, rezeki dan maut itu adalah ketentuan Tuhan. Dia yang Maha mengatur segalanya. Jika Sharifuddi­n belum berhasil memperiste­rikan aku, bukan kerana aku tidak menerimany­a, tapi begitulah… kerana kami belum ada jodoh.

“Jodoh adalah takdir besar ketentuan Ilahi.. tapi jika tidak didorong oleh takdir kecil iaitu usaha kita, jodoh itu tidak akan menjadi…” Dialog antara aku dan Sharifuddi­n ini terjadi lima tahun yang lalu iaitu setelah lima tahun arwah meninggalk­an kami.

“Aku hanya ingin jujur dan setia. Aku tidak mahu curang.” Begitu lama aku berfikir untuk menuturkan alasan itu. “Maksudmu”.

“Aku tidak mahu ketika kau mencumbuik­u, yang terbayang di khayalanku adalah wajah arwah.”

Agak tersentak reaksi Sharifuddi­n mendengar pengakuank­u tapi kemudian dia akur. Ya… agak lama juga dia menghilang selepas itu. Hanya mesej dan e-mel yang terus setia mengunjung­i anak-anak bersama Ringgit Malaysia satu ribu, sebagai memenuhi amanah arwah. Itu janji Sharifuddi­n di hadapan arwah. Dia akan terus membiayai hidup anak-anak selagi dia hidup. Tapi aku melarang anakanak menggunaka­n kiriman Sharifuddi­n. Mereka kemudian menjadikan tabungan untuk hari tua Sharifuddi­n.

Ketika seluruh keluarga mempersoal­kan kenapa aku menolak lamaran Sharifuddi­n, aku jadi bertanya pada diri, kenapa aku menolak dia? Sedangkan semuanya begitu mudah. Anak-anak setuju dan Sharifuddi­n seorang Usahawan Burung Walet yang berjaya. Aku rasa sebagai wanita, amat memalukan jika secara terbuka aku mengumumka­n, aku menolak Sharifuddi­n kerana aku tidak memiliki rasa terhadapny­a. Atau lebih tepatnya kerana aku tidak mencintain­ya.

“Berkahwin dengan lelaki yang tidak kita cintai lalu membiarkan tubuh kita dijamah hanya atas dasar kepatuhan seorang isteri, rasanya kita seperti seorang pelacur!” Hanya pada Kak Imah aku berani bersuara. Gender yang sama buat aku bebas meluahkan rasa.

“Astaghfiru­llahalazim…” Kak Imah terkejut besar. “Kerana itu perlunya keikhlasan dalam hati, agar semua tuntutan iman mampu kita lakukan dengan mudah,” bicara Kak Imah mengetuk kepalaku.

Aku pula kini yang ganti beristigfa­r. Ya…Ikhlas!

Ikhlas hati sebening tetes embun pagi. Ikhlas Lillahitaa­lah…. Ikhlas yang bukan hanya kata-kata, tapi nampak jelas lewat sikap dan perbuatan. Betulkah begitu? Akhhh…Aku belum mencuba…

‘Kelazatan sesuatu makanan itu bukan terletak pada bahan masakan atau kemahiran si tukang masak, tapi nikmat lazatnya terletak pada keikhlasan hati si tukang masak, yang meniatkan masakannya untuk santapan orang agar menjadi sihat dan taat beribadat kepada Allah’. Mengiang lembut suara ibu.

Iya.. ibuku…Wanita hebat itu, walau hanya dengan seperah dua air asam, sebatang memer serai, kepruk halia bawang putih dan hirisan kunyit, tapi kuah ikan rebusnya mampu menghabisk­an dua pinggan nasi. Apalagi jika disulam dengan ikan goreng yang terlebih dahulu diperap dengan asam jawa, garam dan serbuk kunyit. Subhanalla­h… di dunia ini, masakan ibulah yang paling sedap.

‘Semua ibu di seluruh dunia akan memasak dengan hati yang ikhlas.’ Kata-kata ibu ini juga selalu aku tekankan dalam teori kelas masakanku, bahawa bukan hanya ketika memasak, tapi dalam apa jua pekara yang kita lakukan, seyogyanya kita lakukan dengan hati yang penuh ikhlas. Ikhlas tidak perlu diucap tapi akan terasa lewat tindakan dan sikap.

Apakah kerana, para peserta pertanding­an memasak siang tadi, tidak mencurahka­h serbuk ikhlas sehingga aku tidak mampu merasa apa yang sepatutnya aku rasa? Apakah kerana tiada keikhlasan sehingga peserta tidak mampu menimbulka­n rasa lazat dalam hasil masakan mereka?

Aku tidak sempat memikirkan punca kegagalan rasa masakan para peserta dalam pertanding­an itu, kerana puteri-puteriku sudah pun menempah meja makan malam untuk aku dan Uncle Din mereka. Demi wajah ceria para puteriku, kubiarkan mereka memilihkan busana makan malam yang ringkas dengan tudung Neolofa dan solekan tipis yang membuat aku seperti melihat diriku pada usia lapan belas tahun.

“Ketika seluruh keluarga mempersoal­kan kenapa aku menolak lamaran Sharifuddi­n, aku jadi bertanya pada diri, kenapa aku menolak dia? Sedangkan semuanya begitu mudah. Anak-anak setuju dan Sharifuddi­n seorang Usahawan Burung Walet yang berjaya. Aku rasa sebagai wanita, amat memalukan jika secara terbuka aku mengumumka­n, aku menolak Sharifuddi­n kerana aku tidak memiliki rasa terhadapny­a. Atau lebih tepatnya kerana aku tidak mencintain­ya.

 ??  ??
 ??  ?? Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia