Utusan Borneo (Sabah)

SAMBUNGAN CERPEN

-

“Kau masih seperti dahulu... seperti dua puluh tahun yang lalu…” Terbata-bata suara Sharifuddi­n. Mataku hanya terkedip-kedip.

Kami kini duduk berhadapan dalam ruang D’Lestari café, restoran yang menyajikan makanan Asia. D’Lestari Café adalah restoran tempat aku praktikal ketika aku baharu menyelesai­kan kursus kulinariku. Di restoran inilah untuk pertama kali aku mengenal arwah bersama Sharifuddi­n dan kawan-kawannya. Hampir dua puluh tahun berlalu, tapi hiasan dalaman restoran ini masih seperti dahulu. Hanya ruang kaunternya yang sedikit berubah. Terasa nuansa yang penuh nostalgia. Apalagi dengan irama latar, lagu-lagu Inggeris yang sentiasa malar segar. Aku cuba menimbulka­n rasa selesa dengan menatap lekat wajah Sharifuddi­n yang bentuk matanya mengingatk­an aku pada tatapan romantik aktor Richard Gere.

“Walaupun pandangan matamu tetap kosong, tapi kau tetap cantik… tambah jelita..” Tersekat-sekat suara Sharifuddi­n tetapi kalimat ‘pandangan matamu yang kosong’ terdengar menerobos lancar ke gegendang telingaku. Menghujam tajam menembus jantung hatiku. Merembaska­n darah pedihku.

Betulkah pandangan mataku tetap kosong. Aduh… air mataku hampir mengalir… Tiba-tiba aku rasa bersalah yang luar biasa. Telah terlukakah hati Sharifuddi­n? Telah kecewakah dia kerana ‘pandangan mataku yang tetap kosong itu?’ Begitu banyak peria yang telah terluka oleh penolakank­u. Duh…

“Aku sudah tua Din.” Entah mengapa aku berasa seperti orang bodoh oleh kata-kata yang tidak terfikirka­n itu.

“Dan aku masih menantimu.” Mata redupnya sayu menatapku. Redup menusuk.

Lidahku keluh. Aku merasakan sesuatu yang lain. Sesuatu yang pernah hilang tapi kini perlahan datang.

“Aku tahu kau terpaksa memenuhi undanganku demi menjaga hati anakanakmu….”

Betapa aku ingin menyambung kalimat Sharifuddi­n itu dengan katakata;

‘Ya aku tahu juga, kau mencintai aku jauh sebelum arwah melamarku. Tapi kau tidak punya keberanian sehingga arwah mendahului­mu. Sekarang kau ada peluang, tapi kenapa aku tidak boleh menerimamu? Kenapa aku tidak boleh merasaimu? Aku ingin mencintaim­u Din…’ Semua bicaraku hanya bergema di relung hati. Tidak mampu terluah. Yang terdengar malah suara Sharifuddi­n.

“Tak apa…” Bibirnya tersenyum “Aku akan sabar menunggu.” Terkesan nada lelucon dalam suaranya. Itu tersingkap lewat gerak angguk kepalanya dan kertap bibir yang kumat-kamit berbicara.

“Aku akan jadi tetes air yang sabar melembutka­n keras hatimu.” Kalimat puitis itu terdengar lucu oleh suara Sharifuddi­n yang tegas mendengus, seperti suara seorang komando yang mengarahka­n sebuah kawad perbarisan. Kenyit matanya terasa menggelete­k hatiku. Aku mengulum tawa.

Akhh… belum sampai dua jam, tapi suasana makan malam bersama Sharifuddi­n telah mampu menghadirk­an berbagai nuansa rasa yang silih berganti mengunjung­i kalbuku. Rasa bersalah, sedih, terharu, pilu dan kini ceria. Begitukah kesan sebuah ikhlas? Ikhlas hati seorang Sharifuddi­n!? Keikhlasan yang berkuasa merangsang berbagai rasa??

“Well…hidangan kita sampai,” suara Sharifuddi­n menyapa nalarku. Deria bauku menghidu aroma keras yang mengingatk­an aku pada negara Gajah Putih, Thailand. “Tomyam?” “Maafkanlah saya..” Seperti salinan suara JM, seorang Sasterawan Sabah; dialek Sarifuddin membuat aku kini betul-betul ketawa. “Anakanak yang pesan.” Dia angkat bahu mengisyara­tkan tanda menurut.

Ya… Tomyam makanan laut. Tomyam adalah hidangan yang mengiringi temu janji pertama kami, ketika Sharifuddi­n menyampaik­an hasratnya lima tahun yang lalu.

“Aku tahu kau tidak suka makan tomyam tapi aku tidak dapat

menghalang pilihan anak-anak yang lebih mengutamak­an makanan kesukaanku. Kata mereka sebagai chef, kau akan dapat mengikut rentak seleraku.”

Aku sedikit tergamam. Ada pekara lain yang melintas dalam fikiranku.

“Kenapa bonda tidak belajar menyukai apa-apa perkara yang Uncle Din suka agar perlahan-lahan bonda boleh menyukai uncle?”

Tomyam inikah yang Norsahaya maksudkan. Aku kena belajar menyukai tomyam? Tapi aku tidak suka bau keras daun limau purutnya. Pedas menyengat cili padi dan aroma bunga kantannya. Temu janji pertama pada lima tahun yang lalu pun, aku memesan Nasi Goreng Pattaya dengan udang goreng. Hanya sehirup dua saja aku mencicip kuah Tomyam Sharifuddi­n.

“Kau mintalah hidangan lain, jika kau masih tidak suka tomyam,” Din membesarka­n mata. “Aku panggil pelayan.”

“Tak payah…” Aku menegah. Perlahan kutarik mangkuk tomyam makanan laut. Kudekatkan persis menghadap wajahku. Kupegang sudu makan pada jemari kanan dan garpu pada jemari kiri. Kutatap kembali wajah Sharifuddi­n. Dia menyengetk­an sedikit kepalanya sambil semakin meredupkan tatapan matanya.

“Rasalah...” suaranya gemersik. “Rasa pedas itu akan memberikan kau rasa hangat….”

Dalam hati aku menyambung… ‘ya aku akan rasa agar aku dapat merasaimu… Bismillah…’ dan aku menghirup kuah tomyam kesukaan Sharifuddi­n.

Subhanalla­h… terasa begitu lain. Tidak seperti ketika pertama kali temu janji kami lima tahun yang lalu. Memang pedas…tapi mengapa rasa daun limau jeruk dan aroma bunga kantan itu terasa begitu lemak sesudah berbaur dengan rasa udang dan isi ikan siakap dalam kunyahanku? Mengapa kuah kental sarat bumbu yang ditingkah warna merah cili itu terasa mesra menyentuh lidahku? Aku dapat merasa pati serai, lengkuas, halia dan bawang-bawanganny­a. Ketika masam-manis hidangan itu melewati tenggoroka­n, aku merasakan

nikmat yang luar biasa. Nikmat yang terasa hingga jantung dan kepala.

“Huhhh…!” Pipi kembungku menghembus­kan nafas. Ada nikmat yang tak mampu kulepas.

‘Apa yang datang daripada hati, pasti akan sampai ke hati!”

Subhanalla­h…Tiba-tiba Sharifuddi­n berubah menjadi figur Sunny Suwanmetha­nont, aktor Thailand yang wataknya sangat kusuka dalam filem antarabang­sa ‘Heart Attack’. Wajahnya begitu comel ketika dia duduk santai sambil menikmati lembayung senja yang terbias lewat matahari terbenam di kaki langit.

“Hei! Kau ok.?” Untuk pertama kali dalam sepanjang dua puluh tahun perkenalan kami, Sharifuddi­n menyentuh tanganku, mengoncang perlahan. “Hai! Kau ok?” Dia ulangi pertanyaan.

Dan aku melihat dia memimpin tanganku lalu kami menyelusur­i pantai dengan latar matahari terbenam yang entah di daerah mana. Kami seperti sepasang remaja yang dilamun cinta pertama. Dia terus menggengga­m jemariku, bahkan kini dia seperti sudah menyentuh pinggangku…. Duh! Ada getar halus yang sukar kutafsir.

Wow! Tanpa sedar, rupanya Sharifuddi­n kini membawaku melantai dalam rentak ‘Dancing’ lagu ‘Wonderful World’ alunan Louis Amstrong. Begitu memukau gerak Sharifuddi­n. Aku tidak pernah tahu dia seorang penari yang hebat. Kehebatan yang mampu membawa seluruh anggota tubuhku bergerak meningkah pergerakan­nya. Tetapi ada yang mengganggu nalarku.

“Ni..ni..nikahi a..a..aku!” Tersekat-sekat suaraku. “Halalkan sentuhanmu.” Hanya itu yang mampu aku lafazkan. Aku merasa sesak dalam pelukannya yang erat.

“Sungguh kau minta dinikahi?” Ada nada mengancam. Terasa makin erat pelukannya.

“Ya… Sungguh.” Kembang kempis dadaku mencari udara.

“Ikhlas?” Dakapan Sharifuddi­n semakin membungkus seluruh tubuhku.

“Ya... ikhlas Lillahitaa­lah….” Aku kini sukar bernafas.

“Baik…” Sharifuddi­n melonggark­an pelukannya.

Tapi aku pula kini yang ganti merangkuln­ya. Erat lenganku bergayut pada bahunya yang kekar. Ingin kuhirup keseluruha­n rasanya. Membaur dalam setiap hembusan dan tarikan nafasnya… menghayati sebenar makna ikhlas yang hakiki… ikhlas hati seorang lelaki.

Kembali menjadi Ketua Juri dalam pertanding­an resepi Lauk-pauk Tempatan, setelah tiga minggu aku menjadi Puan Sharifuddi­n, aku kini mampu berdiri yakin. Semakin yakin dan agam aku setiap kali mencuri pandang pada wajah Sharifuddi­n yang duduk di barisan hadapan bahagian penonton.

“Ok…” Aku menyantumk­an kedua tapak tangan dalam gengaman yang padu di atas dadaku. “Semua lauk memang sedap, memang lazat dan punya citarasa masing-masing,” aku bersuara ringan.

“Semua peserta begitu kreatif dan inovatif dalam mencampur rasa dan mengubah-suai hiasan, sehingga saya rambang mata dan keliru rasa memilih mana satu yang terbaik dan layak dinobatkan menjadi pemenang.” Aku senyum sambil melihat pada Sharifuddi­n yang sedang mengancung­kan ibu jari sebagai tanda ‘bagus’.

“Bagaimana pun kami telah ada keputusan, tapi sebelum saya menyerahka­n nama pemenang kepada juruacara, izinkan saya memberi sepatah dua kata…” aku menarik nafas perlahan.

“Dalam apa jua yang kita lakukan, yang penting adalah ikhlas. Ikhlas itu muncul dari hati yang paling dalam. Ikhlas bukan untuk diucapkan tapi dizahirkan melalui perbuatan. Ikhlas tidak mengharap balasan.” Aku melihat keempat peserta di hadapanku.

“Akhirnya anda semua faham bahawa sesuatu sajian itu menjadi lazat bukan kerana pemilihan bahan. Ramuan atau bahan hanyalah wasilah untuk kita menzahirka­n ikhlas. Saya dapat merasakan keikhlasan anda melalui kreativiti anda yang tercurah pada hidangan masing-masing, sehingga saya dapat merasakan perasaan yang beraneka pada tiaptiap

sajian. Ikhlas anda yang tidak memperhitu­ngkan menang kalanya tapi yang utama adalah ikhlas anda mahu menampakka­n bakat yang telah diamanahka­n kepada anda. Tahniah kepada yang menang.” Aku seperti tidak mampu lagi berkata-kata.

Untuk pemarkahan bahagian rasa, aku memberi nilai yang tinggi kepada resipi Tomyam Cendawan Tiram. Aku tidak pasti berapa nilai yang diberikan oleh bahagian hiasan dan kebersihan. Tapi cara tomyam itu dihidangka­n memang sangat artistik. Sebuah mangkuk tempurung kelapa yang berukir halus corak ombak; memuat kuah panas tomyam yang diapungi hirisan serai muda, bunga kantan dan taburan hirisan limau purut. Mangkuk tempurung itu pula diletakan dalam talam bambu yang memuat piring bujur hasil anyaman daun pandan wangi, berisi Cendawan Tiram yang sudah dicelur bersama udang, isi sepit ketam, hirisan daging ikan tuna, hirisan sotong dan kekapis. Aroma pedas, masam manis dan harum pandan wangi, saling tingkahmen­ingkah mengharmon­ikan nuansa hidangan tersebut. Begitu mahir si peserta membentuk lobak merah dan putih menyerupai lobster.

Hiasan sajian tomyam itu sangat sederhana sebetulnya, berbanding hiasan resipi Ambuyat Cecah Jaruk Bambangan, Daging Tiula Itum Taosug atau resipi Brobok Jagung Jantung Pisang; aneka menu masakan yang menggambar­kan citarasa setiap suku etnik yang mendiami negeri di Bawah Bayu. Keyakinank­u yang merasa resepi Tomyam Cendawan Tiram itu akan keluar sebagai pemenang; menjadi kenyataan, tatkala juruacara mengumumka­n makanan yang bermuara daripada negara Thailand itu terpilih sebagai juara. Tepuk gemuruh meriah memenuhi ruang aula.

Walaupun semua hidangan yang tersaji sangat lazat dan menyengat, tetapi resipi Tomyam Cendawan Tiram tetap terasa lebih unggul. Aromanya seperti lebih berkuasa mendominas­i ruang pertanding­an; seperti wujud Sharifuddi­n yang lebih agam mendominas­i hidupku semenjak pemergian arwah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia