Utusan Borneo (Sabah)

‘Oh My English! - Level Up’ tampil segar dengan barisan pelakon dan guru baharu

-

SIRI ‘Oh My English!’ musim ini bakal menyaksika­n sekolah yang cukup terkenal dalam kalangan penonton setia rancangan ini, SMK Ayer Dalam, kembali riuh rendah dengan kehadiran barisan pelajar dan beberapa guru baru.

Rancangan sitkom edutainmen­t yang memfokuska­n pada pembelajar­an Bahasa Inggeris secara santai ini telah pun memulakan tayanganny­a, ‘Oh My English! - Level Up’, di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak dalam definisi tinggi di Astro Maya HD (saluran 135) pada setiap hari Ahad sejak 1 Oktober, jam 6.30 petang.

Penonton juga boleh memilih untuk menonton secara percuma menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Dengan jumlah keseluruha­n sebanyak 26 episod, durasi 15 minit yang diperuntuk­kan bagi setiap episod ‘Oh My English! – Level Up’ akan dipadatkan dengan dialog dan gelagat lucu para pelajar baharu kelas 3 Merah.

Dengan kehadiran muka-muka baharu, musim ini akan memberi penekanan terhadap pengenalan dan pembinaan karekter bagi setiap watak serta penerapan pertuturan Bahasa Inggeris.

Pelbagai situasi menarik berlaku semasa sesi pembelajar­an yang telah menonjolka­n sisi peribadi setiap pelajar dan guru baharu di sekolah tersebut.

Penolong Naib Presiden Bahagian Pendidikan Astro, Sharifah Noraidah Syed Ismail berkata, “Musim ini menandakan musim keenam siri ‘Oh My English!’ bersiaran dan pada musim ini, kelas 3 Merah bakal menerima beberapa orang guru baharu. Antara yang menarik adalah kelainan yang disuntik pada watak utama guru baharu iaitu Mr. James Blond lakonan Mark O’Dea yang bertanggun­gjawab mengajar subjek Bahasa Inggeris. Beliau mempunyai perwatakan yang berbeza dengan guru Bahasa Inggeris pada musim sudah iaitu Mr. Middleton lakonan Zain Saidin. Mr. James Blond seorang yang kelam kabut dan bersahaja.

“Pada masa yang sama, beliau cuba untuk menawan hati para pelajar namun niat beliau sering disalah anggap dan mengundang padah pada diri sendiri. Pastinya penonton tidak sabar untuk melihat bagaimana beliau mengendali­kan kelas 3 Merah yang terkenal dengan kelas pelajar nakal.

“Bukan itu sahaja, pengikut setia ‘Oh My English!’ juga pasti teruja untuk melihat kemunculan Zack lakonan Juzzthin pada musim ini kerana dalam musim terdahulu, Zack merupakan pelajar di sekolah tersebut dan kini kembali sebagai guru sandaran, dengan menyarung jersi guru Muzik.

Sama juga dengan Jojie, lakonan Nadiya Nisaa, beliau kembali ke sekolah sebagai Cikgu Jojie yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani (PE). See Yew Soon lakonan Roax Tan juga kembali membuat penampilan istimewa dengan membawa watak sebagai abang salah seorang pelajar baharu, See Mi Nau.

“Kami juga berbangga apabila Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-29 baru-baru ini turut menjadi sebahagian daripada keluarga besar ‘Oh My English!’. Sangeetha Krishnasam­y akan memegang watak Cikgu Lakshmi, sebagai guru Drama.

“Selain itu, bukan sahaja tampil dengan barisan guru baharu, musim ini juga mengalualu­kan kehadiran lapan orang pelajar baharu yang mempunyai karekter serta kelebihan tersendiri.

Kami mahu penonton setia ‘Oh My English!’ untuk mengenali mereka dengan lebih rapat lagi sebagaiman­a mereka mengenali pelajar-pelajar sekolah pada musim-musim terdahulu. Oleh itu, setiap episod akan memberi fokus khusus kepada satu pelajar atau guru dalam situasi yang memperliha­tkan karekter sebenar pelajar atau guru tersebut. Setiap pelajar serta guru baharu ini mempunyai keunikan dan kelebihan masing-masing yang pastinya mencuit hati penonton.”

Barisan pelajar yang akan menggamatk­an kelas 3 Merah pada musim ini ialah Ronaldo (Fimie Don) seorang Ketua Kelas yang sentiasa mahukan kelas 3 Merah menjadi kelas terbaik di SMK Ayer Dalam, Danial (Harris Alif), seorang pelajar macho yang bercita-cita untuk menjadi pemain muzik, Sam (Timothy Deeran) seorang pemain permainan video tegar yang pendiam, Amelia (Yuna Rahim) seorang pelajar bijak tetapi sering gagal dalam peperiksaa­n dengan sengaja, Mawar (Nur Shahidah Abdullah) seorang yang suka berniaga dan menjadikan selebriti-selebriti berjaya sebagai idola beliau, Fiona (Qistina Enara) seorang pelajar ceria yang sentiasa bersungguh-sungguh membuktika­n kebijaksan­aan beliau kepada rakan, See Mi Nau (Chen Su Ee) adik perempuan kepada See Yew Soon, serta Wan Yunus (Izzy Reef), pelajar berasal dari Kelantan yang mempunyai keyakinan diri yang rendah dan sering bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan loghat Kelantan yang mencuit hati.

Watak-watak guru lain seperti dalam musim-musim sudah yang masih dikekalkan termasukla­h Pengetua sekolah, Puan Hajar (Adibah Noor), guru Matematik; Miss Soo (Carmen Soo) dan Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad). Turut menyertai barisan guru yang sedia ada ini adalah Encik Yusof, lakonan Tauke Raja Lawak yang bertindak sebagai Penolong Pengetua.

Mengulas mengenai penampilan ramai muka-muka baharu pada musim ini, Sharifah Noraidah berkata, “Oh My English! menemui penonton dari musim ke musim. Penting untuk kami tampilkan elemen unik dalam setiap musim bersiaran agar penonton terhibur dan terus setia bersama kami.

“Oleh yang demikian, sebagai contoh, kami bawakan kembali bekas-bekas pelajar SMK Ayer Dalam ke sekolah sebagai guru sandaran, dan dari situ kita dapat lihat sisi berlainan mereka yang pastinya lebih matang dan memiliki tahap kepimpinan tinggi. Jika dahulu, Juzzthin (Zack) dan Nadiya Nissa (Jojie) dilihat sebagai sebahagian dari pelajar nakal, kini mereka hadir dengan karekter yang berbeza,” katanya.

Jangan lupa saksikan musim terbaharu ‘Oh My English!’ – Level Up yang bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), pada setiap Ahad, 6.30 petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia