Utusan Borneo (Sabah)

Pejalan kaki warga emas maut, seorang lagi parah

- Oleh YUSOP TEPPO

SANDAKAN: Seorang pejalan kaki wanita warga emas maut manakala seorang lagi parah setelah terbabit kemalangan dengan sebuah Perodua Viva di Jalan Buli Sim-Sim, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata mangsa dikenali sebagai Ommai Jurail, 72, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala seorang lagi mangsa wanita Fadilah Saibil, 54, dalam keadaan kritikal dan dirawat di Zon Merah Hospital Duchess of Kent (HDOK).

Beliau berkata ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang, pemandu kereta yang juga wanita berumur 72 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Bandar Sandakan menghala ke Batu 4.

“Semasa pemandu sampai di tempat kejadian dan berada di lorong kanan, tiba-tiba kedua-dua mangsa yang datang dari arah kanan jalan melintas ke kiri jalan. Pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar kedua-dua pejalan kaki mengakibat­kan keduaduany­a melambung ke atas cermin hadapan sebelah kanan kereta dan jatuh terbaring di atas jalan,” katanya.

Azhar berkata selepas kemalangan itu, kedua-dua mangsa dihantar ke HDOK menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

Katanya impak kejadian itu, mangsa kedua (Fadilah) mengalami kecederaan parah (kritikal) manakala mangsa pertama (Ommai) disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HDOK kira-kira jam 5.40 petang di Zon Kritikal.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian kedua-dua pejalan kaki kerana melintas jalan secara tiba-tiba sehingga menyebabka­n kemalangan berlaku.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ?? KENDERAAN Perodua Viva berkenaan kemik di bahagian tepi sebelah kanan impak kejadian itu.
KENDERAAN Perodua Viva berkenaan kemik di bahagian tepi sebelah kanan impak kejadian itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia