Budayakan integriti dan akauntabiliti
Pastikan setiap projek pembangunan dinikmati rakyat
KOTA KINABALU: Semua ketua jabatan dan agensi pelaksana diseru membudayakan amalan integriti, akauntabiliti serta tadbir urus yang cekap dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, amalan itu penting bagi memastikan setiap projek pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat.
“Ini termasuklah memantau dan memastikan setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan golongan sasar di peringkat akar umbi.
“Aspek ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap masa agar rakyat sentiasa memberi keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, adil dan telus di semua peringkat,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Jamuan Negeri Hari Jadi Rasmi Ke-64 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Haji Juhar Mahiruddin, di sini malam Sabtu.
Turut hadir, isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Dr Hajah Norlidah RM Jasni, isteri Ketua Menteri Puan Sri Faridah Tussin dan para timbalan ketua menteri, menteri Kabinet serta ketua jabatan Persekutuan dan negeri.
Musa berkata, kerajaan komited untuk terus melaksanakan pendekatan, strategi dan agenda pembangunan secara holistik.
“Kita juga mengamalkan pengurusan perbelanjaan dan sumber-sumber negeri secara berhemah, bagi memperkukuhkan lagi fundamental ekonomi serta kedudukan kewangan negeri termasuklah dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi global.
“Justeru, saya menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan agar sentiasa mengendalikan pengurusan kewangan sektor awam secara teratur, cekap dan berkesan,” katanya.
Bagi memastikan kejayaan itu, tambahnya, sokong anyang padu dan jitu daripada semua pihak amat diperlukan termasuklah dalam kalangan pemimpin, anggota perkhidmatan awam, sektor swasta dan rakyat pada keseluruhannya.
“Aspek ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap masa agar rakyat sentiasa memberi keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, adil ” dan telus di semua peringkat.
TAN SRI MUSA HAJI AMAN Ketua Menteri