Sauna gay diserbu, 58 ditahan
JAKARTA: Pihak polis Indonesia telah menahan 58 lelaki termasuk beberapa rakyat asing dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat sauna gay, menurut pegawai kelmarin, petunjuk terbaharu tindakan tegas terhadap golongan homoseksual di negara majoriti Islam ini.
Pada lewat Jumaat pihak polis telah menyerbu sebuah bangunan di bandar utama Jakarta yang menempatkan sauna dan sebuah gim selepas mereka menerima maklumat daripada orang awam bahawa ia telah digunakan bagi pelacuran.
“Kami telah menahan 51 suspek dan tujuh pekerja kerana dikatakan menyediakan perkhidmatan pornografi,” jurucakap Polis Jakarta Argo Yuwono menyatakan dalam satu kenyataan.
Enam rakyat asing turut ditangkap, meliputi empat lelaki dari China, seorang dari Thailand dan seorang dari Belanda.
Kegiatan seks homoseksual dan gay bagaimanapun tidak diharamkan di Indonesia melainkan di wilayah konservatif Aceh yang melaksanakan undang-undang syariah, namun pihak polis telah menggunakan undang-undang antipornografi yang tegas atau dakwaan dadah bagi mendakwa golongan LGBT sebagai penjenayah.
Yuwono menyatakan enam daripada yang ditahan akan didakwa di bawah undangundang antipornografi yang membawa hukuman penjara hingga enam tahun.
Serbuan pada Jumaat lepas dibuat ketika sasaran semakin dipertingkatkan ke atas komuniti kecil lesbian, gay, biseksual dan transjantina (LGBT) yang dianggap menyalahi agama.
Para menteri, kumpulan Islam yang berpengaruh dan tegar telah bersedia untuk melakukan kenyataan antiLGBT secara umum barubaru ini.
Dalam insiden yang sama pada Mei lepas, 141 orang lelaki telah ditahan kerana dikatakan turut serta dalam satu parti seks di Jakarta yang digelar sebagai “The Wild One”.
Andreas Harsono, penyelidik kanan Indonesia di Human Rights Watch, telah mengecam tindakan penahanan itu.
“Ini adalah sebahagian dari kempen anti-LGBT yang dilakukan di Indonesia yang dilaksanakan sejak Januari tahun lepas,” beliau memberitahu AFP.
“Human Rights Watch telah menuntut pihak polis membebaskan mereka dan tidak melakukan dakwaan terhadap mereka.”
Beliau menyatakan peningkatan dalam diskriminasi terhadap LGBT Indonesia adalah berkaitan dengan peningkatan golongan Islam konservatif. —