Utusan Borneo (Sabah)

Hak penjagaan sementara mangsa dera diserah kepada bapa kandung

-

KUANTAN: Mahkamah Khas Kanak-Kanak di sini, pada Rabu memerintah­kan hak penjagaan sementara kanak-kanak mangsa dera yang diikat pada tong gas barubaru ini diberikan kepada bapa kandung mangsa.

Perintah penjagaan sementara selama 30 hari itu dikeluarka­n oleh Majistret Tengku Elliana Tuan Kamarulzam­an selepas membenarka­n permohonan Pegawai Pelindung Kanakkanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan Zalina Yusoff.

Turut hadir pada prosiding itu ialah kanak-kanak mangsa dera berumur 10 tahun yang sebelum itu dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), abang sulungnya, 16, dan bapa kandung, 36, serta ibu tirinya 30-an.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Penolong Pengarah (Bahagian Kanak-Kanak) JKM Azmi IbrahiM berkata mahkamah memutuskan perkara itu selepas mendengar keterangan daripada bapa kandung mangsa yang menyatakan kesediaan untuk menjaganya.

“Bapanya diberikan hak penjagaan sementara selama sebulan bermula hari ini (Rabu), dalam tempoh itu JKM akan buat siasatan semula dan lihat kesesuaian bapa kandung. Banyak faktor akan diambil kira sebelum mahkamah mententuka­n hak penjagaan tetap selepas ini,” katanya.

Menurutnya dalam prosiding berkenaan, bapa kandung mangsa turut menyatakan kesediaan untuk menjaga dua lagi abang mangsa yang berusia 16 dan 13 tahun.

Sepanjang prosiding berlangsun­g mangsa difahamkan berada dalam keadaan ceria dan tidak sabar untuk mengikuti bapanya pulang ke Melaka Tengah.

Azmi berkata ibu kandung mangsa, 37, akur dengan keputusan yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Semasa pertemuan diadakan sebelum ini, ibunya tidak membantah apabila dimaklumka­n tentang kemungkina­n perkara itu (hak penjagaan diberi kepada bapa).

“Dia juga ada menunjukka­n minat untuk menjaga kembali mangsa, namun dia faham dengan situasi semasa dan terpaksa menangguhk­an sementara hasratnya itu,” katanya.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan lehernya dirantai dan dikunci pada tong gas sebelum ditinggalk­an di ruang dapur rumah keluargany­a.

Polis yang menerima maklumat mengenai kes itu, telah menghantar sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ke rumah mangsa di Indera Mahkota.

Bapa tiri mangsa dilaporkan bertindak sedemikian setelah mangsa dikatakan pulang lewat tengah malam pada malam sebelum kejadian. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia