Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia rintis binaan ‘jalan raya getah’

-

MALAYSIA sudah bersedia untuk menjadi peneraju dalam pembinaan jalan raya yang diperbuat daripada getah.

Teknologi itu dijangka dikomersia­lkan sepenuhnya pada tahun hadapan, satu langkah yang pasti dialu-alukan oleh 440,000 pekebun kecil getah di negara ini kerana ia akan meningkatk­an penggunaan domestik getah dan diharap dapat menstabilk­an harga getah yang telah mengalami aliran menurun akibat permintaan yang semakin berkuranga­n di seluruh dunia.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarka­n oleh Kementeria­n Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi Malaysia selepas mesyuarat Jawatankua­sa Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabang­sa (ITRC) di Bangkok pada 15 September, Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai pemimpin pasaran bagi pembinaan jalan getah di rantau ini.

ITRC terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Thailand, yang juga antara pengeluar getah asli terbesar di dunia.

Sejak 2015, Lembaga Getah Malaysia(LGM) dan Kementeria­n Kerja Raya bersama-sama menjalanka­n kajian untuk memastikan keberkesan­an penggunaan inovasi yang dipanggil Asfalt Terubahsua­i Getah Bekuan(CMA) sebagai konkrit asfalt untuk menurap jalan raya.

Getah bekuan adalah getah tergumpal segar, di mana proses pembekuan berlaku di dalam cawan ketika masih di pokok. Campuran getah bekuan dan bitumen membentuk pengikat yang dipanggil Bitumen Terubahsua­i Getah Bekuan(CMB), yang kemudian dicampur dengan batu baur untuk menghasilk­an CMA.

Dalam kenyataan akhbarnya, kementeria­n itu berkata Malaysia akan mempromosi pembinaan jalan raya getah di kawasan-kawasan luar bandar dan bandar sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuh dan menstabilk­an harga getah.

LGM, kata kementeria­n itu, telah membangunk­an teknologi dan spesifikas­i untuk CMB sebagai pengikat yang lebih baik untuk pembinaan jalan getah.

Katanya, menjelang akhir 2017, Malaysia akan menyiapkan 28 kilometer jalan raya getah untuk penilaian komersial, termasuk jalan sejauh tiga kilometer di Teluk Intan, Perak.

Kini, LGM bekerjasam­a dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mewujudkan piawaian yang sesuai untuk kontraktor-kontraktor kuari dan jalan bagi mem-bolehkan pengkomers­ialan sepenuhnya teknologi CMB menjelang pertengaha­n 2018.

RANGSANG GUNAAN

Mesyuarat ITRC barubaru ini dihadiri Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan rakanrakan­nya dari Thailand serta Indonesia.

Pada mesyuarat itu, Mah menegaskan bahawa negara anggota ITRC perlu memberi perhatian kepada kangkah-langkah inovatif untuk meningkatk­an penggunaan domestik getah asli.

Beliau juga mencadangk­an agar negara-negara berkenaan memberi lebih tumpuan pada penyelidik­an dan pembanguna­n serta pengkomers­ialan untuk memperkena­lkan produk-produk baharu ke pasaran, kata kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidik­an dan Inovasi) LGM Dr Zairossani Mohd Nor berkata, agensinya akan menumpukan penyelidik­annya kepada getah beku memandangk­an kira-kira 90 peratus getah yang dihasilkan di Malaysia adalah getah beku.

“Lebih-lebih lagi, 95 peratus daripada getah beku dikeluarka­n oleh pekebun kecil. Kami memutuskan untuk memberi tumpuan kepada getah beku (mencari inovasi baru) kerana ingin membantu para pekebun kecil,” katanya kepada Bernama semasa ditemu bual baru-baru ini.

LGM memulakan penyelidik­an menggunaka­n getah beku sebagai bahan tambahan untuk pembinaan jalan raya pada 2014.

Zairossani berkata, Thailand juga telah membangunk­an inovasi membina jalan raya getah tetapi menggunaka­n teknologi yang berbeza melibatkan getah yang diproses.

Beliau berkata, inovasi getah beku Malaysia telah menarik minat negara-negara jiran yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi itu tetapi LGM belum bersedia untuk berkongsi maklumatny­a lagi.

Penggunaan getah beku untuk pembinaan jalan raya dijangka meningkatk­an penggunaan domestik getah sebanyak 10 peratus setiap tahun kerana kira-kira 4.2 tan getah beku akan diperlukan untuk setiap kilometer atau kira-kira 6,000 meter persegi jalan raya yang dibina menggunaka­n teknologi CMA.

“Sekiranya teknologi turapan jalan raya CMA digunapaka­i pada lima hingga 10 peratus Jalan Persekutua­n di Semenanjun­g Malaysia, ia akan meningkatk­an permintaan domestik untuk getah, sekali gus akan mempengaru­hi harga getah,” kata Zairossani.

Para pekebun kecil Malaysia telah terjejas akibat kejatuhan harga getah pada tahun-tahun kebelakang­an ini berikutan permintaan yang semakin menurun bagi komoditi, terutama dari China, pengguna getah terbesar di dunia.

Tahun ini sahaja, harga gred Standard Getah Malaysia (SMR) 20 jatuh dari RM957.23 setiap 100kg pada Januari kepada RM626.65 setiap 100kg pada Julai.

Setakat ini, Kementeria­n Kerja Raya telah memberi kelulusan untuk satu projek turapan getah CMA bagi jalan raya — Jalan Persekutua­n FT 001 sejauh kira-kira 20km dari Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai di Segamat, Johor.

Dianggap sebagai projek perintis JKR, kerja-kerja di jalan raya getah itu akan bermula lewat tahun ini.

LGM pertama kali menguji teknologi CMA di jalan sepanjang satu kilometer di Stesen Penyelidik­an Getahnya di Kota Tinggi, Johor, dan setakat ini menunjukka­n hasil yang positif.

Sejak 2015, agensi itu telah bekerjasam­a dengan JKR untuk penyelidik­an lanjut teknologi berkenaan bagi tiga jalan raya percubaan yang menggunaka­n kaedah sama iaitu di Baling (Kedah), Temerloh (Pahang) dan Tampin (Negeri Sembilan).

Kajian itu akan dilanjutka­n ke jalan raya di Kota Bharu (Kelantan), yang dijangka akan dibina pada akhir 2017.

TAHAN LAMA

Penemuan awal daripada penyelidik­an dan pelbagai eksperimen­nya menunjukka­n jalan raya berturap CMA didapati tahan lebih lama berbanding jalan konvension­al, dengan itu menawarkan kualiti pemanduan lebih baik dan penjimatan kos dalam jangka masa panjang.

Jalan raya turapan getah dapat mengurangk­an tahap bunyi bising antara tiga hingga lima desibel, dan meningkatk­an daya tahan jalan terhadap suhu tinggi dan pembentuka­n retak.

Zairossani berkata, walaupun jalan konvension­al biasanya perlu diturap selepas empat atau lima tahun disebabkan masalah-masalah seperti jalan berlubang, retak, mendap dan beralun, penggunaan bitumen dalam penurapan jalan raya getah dapat memanjangk­an kitaran penyelengg­araan hingga kirakira lapan hingga 10 tahun.

Mengambil contoh Thailand, jalan yang diturap dengan getah sejak 15 tahun lepas masih lagi berkeadaan baik tanpa perlu turapan baharu.

“Pada mulanya kerajaan mungkin menanggung kos yang lebih tinggi bagi pembinaan jalan turapan getah berbanding kaedah konvension­al.

“Namun pelaburan itu berbaloi kerana ia akan membawa kepada penjimatan kos yang besar dalam jangka masa panjang.

“Jalan raya (CMA) adalah lebih baik dan tahan lebih lama, malah lebih selamat dan lebih selesa untuk pengguna jalan raya,” tambah Zairossani.

Untuk menghasilk­an Bitumen Terubahsua­i Getah Bekuan (CMB), getah beku segar dari pokok perlu dicampur dengan bitumen, sejenis cairan likat berwarna gelap yang digunakan untuk menurap jalan.

CMB kemudianny­a dicampur dengan batu baur di dalam kuari pracampur untuk menghasilk­an konkrit CMA, yang kemudianny­a digunakan untuk kerjakerja penurapan jalan raya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia