Utusan Borneo (Sabah)

10 tan sampah dikutip di pantai Pulau Mabul

-

SEMPORNA: Program gotong royong anjuran Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau kelmarin bagi memastikan Pulau Mabul dekat sini bersih dan terpelihar­a berjaya mengutip kirakira 10 tan metrik sampah.

Sampah berupa botol dan plastik itu dikutip di sekitar pesisiran pantai pulau peranginan itu.

Komander Bridged PGA Sabah SAC Zanuddin Samsu Hadi berkata program murni yang dilaksanak­an pihaknya itu turut bertujuan mendidik penduduk dan pelancong betapa penting menjaga kebersihan.

“Sampah sarap yang di buang merata tempat mendedahka­n kesan buruk terhadap hidupan marin dan manusia, di samping memberi kesan buruk kepada imej Semporna yang terkenal sebagai destinasi pelanconga­n dunia.

“Pusat peranginan akan tutup jika kedatangan pelancong berkuranga­n akibat pulau yang tidak bersih kerana juga berpotensi terdedah kepada pelbagai penyakit, malah pendapatan nelayan juga terjejas jika kehidupan marin mati akibat sampah,” katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Kira-kira 300 orang terlibat dalam program yang julung kali diadakan di pulau itu terdiri daripada anggota PGA, Pasukan Polis Marin (PPM), IPD Semporna, Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah, sukarelawa­n, pengusaha pusat peranginan, penduduk kampung dan pelancong.

Zanuddin berkata program murni itu akan dilaksanak­an secara berkala dan turut mencadangk­an tong sampah diletakkan di setiap laluan jeti dan kawasan pesisir pantai untuk kemudahan orang ramai membuang sampah.

“Kesukaran menemukan tong sampah di pulau ini mungkin antara punca kepada pembuangan sampah di merata tempat,” katanya.

Sementara itu, Dima Zreik, 39, pelancong daripada Kanada yang turut mengambil bahagian dalam program itu memuji inisiatif untuk memastikan pulau itu bersih.

“Mabul pulau yang sungguh indah, saya begitu seronok melakukan aktiviti menyelam sejak berada di sini beberapa hari lepas,” katanya.

Menurut Dima, sampah sarap merupakan masalah besar yang dihadapi di seluruh dunia dengan jutaan tan plastik dikeluarka­n dan 10 peratus daripadany­a dibuang ke laut yang menjejaska­n hidupan marin dan kesihatan manusia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia