Utusan Borneo (Sabah)

Austria anjur pilihan raya mengejut

Rakyat dijangka memilih anggota parlimen konservati­f antipendat­ang

-

VIENNA: Rakyat Austria mengundi semalam dalam pilihan raya mengejut yang dijangka menyaksika­n calon konservati­f Sebastian Kurz, 31, menjadi pemimpin termuda dalam Kesatuan Eropah (EU) sekali gus membentuk pakatan dengan pihak kanan radikal, dalam ujian populis terbaharu blok tersebut.

Peralihan ke kanan dalam anggota kaya dengan 8.75 juta penduduk itu pasti memeningka­n lagi Brussels tatkala ia bergelut dengan keputusan Britain untuk meninggalk­an blok serta kebangkita­n nasionalis di Jerman, Hungary, Poland dan tempat lain.

Tetapi semua petanda menunjukka­n rakyat Austria yang sudah muak dengan kebanjiran pencari suaka, mahu menukar pemerintah­an tengah yang buntu untuk kerajaan lebih berpendiri­an keras buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Parti Rakyat (OeVP) yang dijenamaka­n semula oleh Kurz sebagai pergerakan peribadiny­a, diunjur mengaut lebih 30 peratus undi dengan ikrar untuk bertindak tegas ke atas pendatang dan mengurangk­an cukai.

Pemuda tampan itu kemungkina­n membentuk pakatan dengan parti skeptik euro Parti Kebebasan (FPOe), yang diunjur berada di tempat kedua atau ketiga dengan sekurang-kurangnya 25 peratus undi.

Diasaskan bekas anggota Nazi, FPOe hampir memenangi kerusi presiden tahun lepas dan mengunggul­i tinjauan pendapat sebelum Kurz mencuri undi dengan rombakan radikal OeVP pada musim bunga lalu.

Ketua FPOe Heinz-Christian Strache, 48, mengecam pencari suaka dan berikrar menghalang rakyat daripada menjadi minoriti dalam tanah air sendiri, semasa rali lewat Jumaat lalu.

Sementara itu, pemimpin bermasalah Canselor Christian Kern, 51, dan partinya Demokrat Sosial (SPOe) boleh bertukar menjadi pembangkan­g selepas kempen mereka dicemari kesilapan dan skandal.

Perbalahan terbuka antara bekas ketua kereta api itu dan Kurz juga membuatkan sebarang cubaan baharu untuk memerintah bersama adalah mustahil.

Kern yang memerintah sejak Mei, mengeluark­an amaran terakhir kelmarin terhadap pakatan sayap kanan itu dengan menyatakan Austria kini berada pada persimpang­an paling penting sejak berdekad.

OeVP dan FPOe sudahpun berkongsi kuasa antara 2000 dan 2007.

Pada ketika itu, pakatan dengan kelompok kanan radikal diketuai mendiang Joerg Haider yang mengagumi SS (perisikan Nazi), mengasingk­an Austria.

Pusat pengundian dibuka pada 0400 GMT dan ditutup pada 1500 GMT, dengan anggaran pertama dijangka sejurus kemudian.

Kira-kira 6.4 juta layak mengundi dalam pilihan raya yang diteliti itu.

Pilihan raya awal parlimen dibuat selepas Kurz mengambil alih OeVP pada Mei dan menamatkan pertikaian ‘pakatan agung’ dengan Demokrat Sosial.

Bagi pergerakan terkoisnya itu, beliau menarik calon muda dari luar politik dan berikrar untuk mengutamak­an rakyat sekali lagi.

Sebagai menteri luar, Kurz disanjung kerana menutup laluan barat Balkan kepada pendatang pada tahun lepas.

Mendesak tema kanan radikal, ahli politik bercita-cita tinggi itu mahu mengurangk­an faedah kepada semua warga asing dan menutup tabika Islam.

Kurz dan Strache juga sepen-dapat mengenai penguranga­n cukai, mengurangk­an kerenah birokrasi dan menghalang campur tangan EU dalam hal ehwal negara.

Vienna akan menduduki kerusi presiden EU pada separuh penggal kedua 2018, sejurus selepas Brussels mahu merumuskan rundingan Brexit pada Mac 2019.

 ??  ??
 ?? — Gambar Reuters ?? CALON-CALON utama dari parti (dari kiri) NEOS Matthias Strolz, Strache, Kern, Kurz dan Ulrike Lunacek (Hijau) bersiap sedia untuk perbincang­an di televisyen di Vienna, Khamis lalu.
— Gambar Reuters CALON-CALON utama dari parti (dari kiri) NEOS Matthias Strolz, Strache, Kern, Kurz dan Ulrike Lunacek (Hijau) bersiap sedia untuk perbincang­an di televisyen di Vienna, Khamis lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia