Calon pro-Rusia dijangka presiden baharu Kyrgyzstan
BISHKEK: Kyrgyzstan mengundi semalam dalam pilihan raya presiden tanpa calon dijangka menang besar dan pemerhati meramalkan saingan sengit antara dua calon pro-Rusia dengan seorang daripadanya disokong pemimpin yang akan digantikan.
Negara dengan enam juta penduduk majoriti Muslim itu sekutu rapat Moscow dan menjadi tuan rumah pangkalan tentera Rusia, membantu bekas Soviet melaksanakan projek tenaga di sekitar wilayah itu di mana China dan Amerika Syarikat (AS) turut mengintai bagi pengaruh.
Berbeza dengan negara jiran Asia Tengahnya, kebanyakan diuruskan autokrat, Kyrgyzstan adalah negara demokrasi yang menyaksikan perubahan tegang kepimpinan.
Selepas dua pilihan raya presiden pertamanya selepas kejatuhan Soviet Union akibat rusuhan ganas, negara itu mengubah caranya sendiri sebagai republik berparlimen di mana kuasa presiden kebanyakannya terhad kepada polisi asing dan hal-hal keselamatan.
Namun bekas presiden Almazbek Atambayev memperkukuh kuasa eksekutif pada tahun lepas dengan menyeru referendum pindaan perlembagaan.
Perlembagaan tidak membenarkan beliau mendapatkan penggal kedua enam tahun, justeru Atambayev menyokong sekutunya, bekas perdana menteri dan birokrat Sooronbai Jeenbekov, 58, yang mana kemenangannya akan membolehkan bekas pemimpin itu kekal berkuasa.
Atambayev dan Jeenbekov dari parti Demokratik Sosial memiliki pengaruh terbesar dalam Parlimen dan mendominasi kabinet pakatan.
Namun mereka berdepan tentangan hebat taikun minyak Omurbek Babanov, 47, yang mana parti beliau Respublika-Ata Zhurt (Ibu Pertiwi) mempunyai pengaruh kedua terbesar dalam Parlimen di mana menurut tinjauan beliau dan Jeenbekov akan bertanding sengit.
Babanov, juga bekas perdana menteri, menuduh kerajaan menyalahgunakan kuasa bagi memastikan kemenangan Jeenbekov selepas pihak berkuasa mendakwa sebahagian penyokong kempennya merancang rampasan kuasa dan merasuah pengundi.
Babanov menafikan sebarang kesalahan dan menolak tuduhan tersebut sebagai taktik kotor.
Atambaye dan kabinetnya juga menuduh Kazakhstan, negara jiran lebih besar dan mewah, sebagai menyokong Babanov, di mana Babanov dan kerajaan Kazakh menafikannya.
“Saya benar-benar pasti malam ini kita akan mengetahui nama presiden baharu dan nama itu adalah Babanov,” Babanov tersenyum memberitahu wartawan ketika membuang undinya di Bishkek.
Salah seorang penyokongnya, Fatima Akchokoyeva, 25, guru tadika menyatakan: “Beliau masih muda dan bercita-cita tinggi, saya percaya beliau akan mampu mengubah Kyrgyzstan agar lebih baik.”
Para pengundi Jeenbekov sebaliknya melihat beliau sebagai penyelamat yang akan memantapkan pasukan Atambayev.
“Saya fikir beliau akan mengekalkan kestabilan.
“Kestabilan adalah perkara yang paling kami perlukan,” menurut pekerja kerajaan daerah Saltanat Temirova, 58.
Di sebalik perbezaan mereka, Jeenbekov dan Babanov sama-sama menyatakan mereka mempertimbang Rusia, di mana ratusan ribu buruh pendatang Kyrgyz bekerja, sebagai rakan kongsi strategik.
Pusat pengundian ditutup pada jam 8 malam waktu tempatan dan keputusan awal disiarkan beberapa jam kemudian.