Utusan Borneo (Sabah)

40 korban seminggu kebakaran di California

-

SANTA ROSA: Pihak berkuasa berharap angin yang semakin lemah akan membantu lebih 10,000 anggota bomba menangani kebakaran paling teruk dalam sejarah California, yang telah mengorbank­an sekurang-kurangnya 40 orang dan memusnahka­n ribuan bangunan dalam salah satu bencana alam terburuk di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa tahun.

Api yang merebak dengan pantas akibat perubahan angin memaksa ribuan lagi meninggalk­an kediaman mereka kelmarin ketika ratusan masih hilang.

Lebih 10,000 anggota bomba dibantu tangki air dan helikopter menghadapi 16 kebakaran hutan utama di beberapa kawasan utara San Francisco yang telah melibatkan hampir 214,000 ekar, atau kira-kira 334 batu persegi, sebuah kawasan yang lebih luas daripada Kota New York.

Sebanyak 40 kematian yang disahkan, termasuk 22 di Sonoma County, menjadikan­nya kebakaran terburuk di California, mengatasi 29 kematian akibat kebakaran Griffith Park pada 1933 di Los Angeles.

Dengan 255 masih hilang kelmarin di Sonoma County sahaja dan runtuhan ribuan rumah yang hangus masih belum diperiksa, pihak berkuasa menjangka angka kematian akan meningkat.

Kira-kira 100,000 terpaksa meninggalk­an rumah mereka, termasuk 3,000 kelmarin dari bandar Santa Rosa, kira-kira 50 batu di utara San Francisco. Kebakaran telah menjejaska­n atau memusnahka­n kira-kira 5,700 bangunan, meranapkan rumah dan perniagaan menjadi debu.

“Ini adalah benar-benar salah satu tragedi paling besar pernah dihadapi California.

“Kemusnahan yang dialami amat sukar dipercayai dan sesuatu yang menakutkan yang tidak pernah dibayangka­n sesiapa pun,” Gabenor California Jerry Brown berkata ketika melawat bandar yang musnah.

Janis dan Roberto Lucha menyertai orang ramai yang berbaris di pejabat Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutua­n (FEMA) di Santa Rosa, memohon bantuan setelah kehilangan rumah yang didiami sejak 27 tahun lalu di kawasan kejiranan Coffey Park di mana kebanyakan rumah hangus.

Terdapat sedikit harapan ketika angin semakin lemah dan anggota bomba membuat perkembang­an dengan kebakaran seperti Cascade Fire, 80 batu timur laut Santa Rosa, yang mana hampir 10,000 ekar dan 87 peratus dikawal kelmarin.

Pekan Calistoga di Lembah Napa, kini dikosongka­n, terselamat daripada angin berbahaya ketika ia bergerak, namun Datuk Bandar Chris Canning memberi amaran kemunculan semula akan memberikan satu ancaman baharu.

Anggota bomba menyatakan Tubbs Fire, antara Calistoga dan Santa Rosa, kira-kira 44 peratus terkawal, sementara satu lagi di wilayah wain, Atlas Fire, adalah 45 peratus.

Namun Nun Fire di barat Napa hanya 10 peratus terkawal.

Anggota bomba dari Oregon, Washington, Arizona, Colorado, Nevada dan Utah telah membantu bomba tempatan Cal Fire menghadapi kebakaran.

Pesawat udara telah menjatuhka­n lebih 7.6 juta liter bahan perencat api.

Cal Fire menganggar­kan kebakaran akan dikawal pada 20 Oktober.

Musim kebakaran hutan pada tahun ini merupakan salah satu yang terburuk dalam sejarah AS, dengan hampir 8.6 juta ekar terbakar setakat 13 Oktober, menurut Pusat Bomba Antara Agensi Kebangsaan (NIFC).

Tahap terburuk dalam rekod bagi tempoh yang sama dalam setahun adalah 9.3 juta ekar pada 2015.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia