Utusan Borneo (Sabah)

Peniaga perlu patuhi Skim Kawalan Harga Deepavali

-

SIBU: Peniaga tempatan diingatkan tidak menaikkan harga sesuka hati terhadap 16 jenis barangan diwartakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Deepavali 2017, bermula 13 hingga 22 Oktober.

Ketua Cawangan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) Sibu Kasim Mana berkata selain pemantauan secara berterusan pihaknya menempatka­n anggota KPDNKK di kaunter keselamata­n di Pasar Sentral Sibu sepanjang tempoh skim itu dilaksanak­an.

“Ini bagi memudahkan orang ramai terutamany­a pengguna-pengguna mengemukak­an aduan terhadap masalah barang dan harga kepada KPDNKK untuk tindakan susulan.

“Pada Sabtu dan Ahad termasuk cuti umum anggota kita juga ditugaskan di lokasi membantu atau mengambil aduan daripada orang ramai,” katanya di sini, pada Sabtu.

Kasim memberi amaran kepada peniaga tindakan tegas dikenakan ke atas mereka sekiranya menaikkan harga barangan diwartakan SKHMP dianggap melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Oleh itu, peniaga harus mematuhi arahan ditetapkan skim perayaan dan tidak menjual 16 item terkawal dengan harga yang melampau atau berhadapan dengan tindakan tegas,” jelasnya.

Seramai lapan pegawai penguat kuasa dan lapan pegawai pemantau harga diketuai Timbalan Ketua Cawangan KPDNKK Sibu Ganda Jirap melakukan tinjauan ke Pasar Sentarl Sibu, pada Sabtu.

Mereka melakukan pemeriksaa­n ke atas peniaga menjual barangan basah dan kering di kawasan tersebut.

Selain memastikan harga barang terkawal tidak dinaikkan sesuka hati, mereka memastikan peniaga memaparkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan di bawah SKHMP.

Bagi peniaga gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 untuk kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Bagi syarikat didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Kesalahan kedua iaitu peniaga didapati bersalah kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal individu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

Manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

16 barangan harga terkawal mengikut harga runcit di bawah SKHMP ialah ayam hidup pada harga RM6.70 1 kilogram (kg), ayam standard 1kg (RM8.50) dan ayam super 1kg (RM9.50).

Bagi daging kambing biri-biri import dijual pada harga RM30 sekilo. Manakala telur ayam gred A pada harga 39sen sebiji, gred B 38sen sebiji dan gred C pada harga 37sen sebiji.

Barangan lain cili merah harga RM15 sekilo, tomato (RM7 sekilo), kelapa (RM1.30 sebiji), kelapa parut (RM5 sekilo), bawang merah kecil (RM6 sekilo), bawang merah besar (RM4 sekilo), ubi kentang import (RM3.50 sekilo) dan kacang dal (RM4 sekilo).

 ??  ?? PEGAWAI KPDNKK Sibu diketuai Ganda melakukan pemantauan harga di salah sebuah gerai menjual ayam segar di Pasar Sentral Sibu.
PEGAWAI KPDNKK Sibu diketuai Ganda melakukan pemantauan harga di salah sebuah gerai menjual ayam segar di Pasar Sentral Sibu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia