Utusan Borneo (Sabah)

Gerakan minta kerajaan negeri PP beri perhatian

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP perlu berhenti bersikap lepas tangan dan perlu mula menilai semula semua projek di lereng bukit di pulau itu untuk mengenal pasti risiko berpotensi, kata Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah semalam yang mengakibat­kan tujuh orang maut dan empat lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan, dapat dicegah sekiranya kerajaan negeri mendengar bantahan dibuat beberapa pihak (berhubung pembanguna­n di lereng bukit) termasuk anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah daripada DAP sendiri, Teh Yee Cheu.

“Teh daripada DAP, dan beliau wakil rakyat Tanjung Bungah, dan telah banyak kali membuat gesaan membantah projek-projek di lereng bukit. Beliau telah membuat bantahan ini sejak sekian lama. Mungkin sekiranya kerajaan negeri mendengar pendapatny­a, tragedi ini mungkin dapat dicegah.

“Kami menggesa kerajaan Pulau Pinang supaya menilai semula projek-projek di lereng bukit… kerana nyawa manusia amat penting. Mereka sepatutnya menilai semula projek-projek yang sedang dijalankan untuk mencegah lebih banyak bencana daripada berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali anjuran Gerakan, di sini, pada Ahad.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada kira-kira 8.50 pagi semalam. Setakat ini enam mayat telah dikeluarka­n daripada runtuhan itu manakala pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berdepan kesukaran untuk mengeluark­an mayat ketujuh.

Empat lagi mangsa masih belum dapat dikesan berikutan dipercayai tertimbus pada kedalaman 10 meter.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP berjanji untuk mencadangk­an kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri pada minggu depan untuk mempertimb­angkan siasatan rasmi terhadap tragedi itu.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia