SME Corp sasar penubuhan Persatuan TUBE Kebangsaan tahun hadapan
PEKAN: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan penubuhan Persatuan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Kebangsaan pada tahun depan, kata Pengerusinya Tan Sri Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid.
Beliau berkata penubuhan itu bakal menggabungkan semua 10 persatuan TUBE negeri, sekali gus memudahkan proses pemantauan, pengurusan dan penyampaian bantuan bagi menjamin kejayaan usahawan belia yang terlibat.
Menurutnya, penubuhan itu juga bertujuan untuk mengekalkan ikatan antara alumni kerana sejak TUBE dimulakan pada 2014, seramai 1,436 belia telah mendapat manfaat daripadanya dan penyertaan yang diterima juga semakin bertambah setiap tahun.
“Mereka yang dipilih akan menjalani latihan berkonsepkan bootcamp selama tiga minggu dengan modul pembelajaran keusahawanan dan latihan praktikal kerja lapangan bagi melengkapkan diri dengan ilmu usahawan, jati diri yang tinggi, semangat kerja berpasukan dan pemikiran strategik. “Dalam perniagaan, hubungan erat antara buddy (rakan) penting dan penubuhan persatuan ini membolehkan mereka mengekalkan hubungan yang terjalin semasa menjalani latihan dan menggalakkan peserta baharu berkongsi pengalaman serta dengan alumni TUBE,” katanya.
Mohamed Al Amin berkata demikian pada sidang media selepas acara penutup Program TUBE 2017 Peringkat Kebangsaan di Kem Semarak, yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya Datuk Seri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali.
Acara penutup itu diadakan serentak di 10 Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara dan pada tahun ini, seramai 1,000 belia menyertai program TUBE tersebut yang diadakan bermula 1 hingga 21 Okt.
Daripada jumlah itu, seramai 996 usahawan dipilih untuk menjalani latihan ke peringkat seterusnya dan akan dipertimbangkan untuk menerima dana sebanyak RM15,000 sebagai dana bagi memulakan perniagaan masing-masing.