Utusan Borneo (Sabah)

Harga timah dijangka melantun semula

-

KUALA LUMPUR: Harga timah fizikal di Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) dijangka melantun semula minggu ini dalam keadaan lebihan jualan bagi komoditi itu.

PTKL dijangka menjejaki dengan rapat prestasi niaga hadapan komoditi itu di Bursa Logam London (LME) tetapi dengan permintaan kukuh dan bekalan dikuasai peniaga tempatan, harga dijangka tinggi ke arah paras AS$20,500 setan metrik minggu ini, kata seorang peniaga tempatan.

Beliau berkata PTKL dijangka diniagakan tinggi minggu ini dengan harga stabil di atas paras utama apabila para penjual tempatan kelihatan enggan meletakkan harga tawaran mereka dekat atau di bawah paras sokongan AS$20,000 pada Jumaat.

“LME terlebih jual. Kecenderun­gan untuk melantun semula minggu ini adalah tinggi dan begitu juga dengan PTKL.

“Kedua-duanya akan mengambil petunjuk daripada harga minyak yang meningkat, disokong oleh petanda bekalan terhad dan asas permintaan,” katanya kepada Bernama.

Harga logam itu, bagi fizikal dan juga niaga hadapan tidak menentu kebelakang­an ini, dipengaruh­i oleh turun naik harga minyak mentah global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabang­sa bagi harga minyak mencecah AS$57.39 pada Khamis (naik 0.28 peratus daripada penutup terakhirny­a), manakala niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermedia­te (WTI) diniagakan pada AS$51.47 setong (naik 0.35 peratus).

Peniaga itu berkata PTKL dijangka terus menarik permintaan dan penyertaan daripada peniaga Eropah, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat dan tempatan minggu ini.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga timah di PTKL turun sebanyak AS$660 kepada AS$20,100 setan metrik daripada AS$20,760 sebelumnya.

Jumlah dagangan dijangka susut kepada 104 tan metrik daripada 206 tan metrik minggu sebelumnya.

Perbezaan harga antara PTKL dengan LME pada Jumaat berada pada premium AS$225 setan metrik berbanding premium AS$20 setan metrik pada minggu sebelumnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia