Utusan Borneo (Sabah)

Tanah runtuh: Operasi cari, selamat dihentikan

-

GEORGE TOWN: Operasi mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini dihentikan sepenuhnya pada 12.05 tengah hari Isnin.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Moktar berkata pihaknya menghentik­an operasi itu selepas meronda bersama anjing pengesan K9 jabatannya dan mendapati tiada lagi mangsa di kawasan runtuhan selain mendapat pengesahan daripada kontraktor tapak pembinaan itu bahawa hanya 11 mangsa yang tertimbus.

“Operasi mencari dan menyelamat selama tiga hari ini dianggap berjaya. Pihak bomba perlu sediakan laporan lengkap dalam masa tiga hari berhubung operasi untuk diserahkan kepada Kabinet manakala laporan berhubung punca kejadian akan dilakukan agensi kerajaan yang lain,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Isnin.

Seramai 380 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terlibat dalam operasi tiga hari itu.

“Bomba turut mendapat bantuan baik daripada semua pihak terutama pemaju dalam membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus,” katanya.

Kesemua 11 mangsa yang dilapor tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu telah dijumpai dengan dua mayat terakhir seorang warga Bangladesh, Muhammad Monirul Islam dan warga tempatan Yuan Kouk Wern, 27, ditemukan pagi ini masing-masing pada 7.03 dan 7.13 pagi.

Sembilan lagi mayat yang dibawa keluar dari kawasan runtuhan ialah tiga warga Myanmar, Yunus Nazir Huson, Muhammad Elyas Mustak dan Rahmatulla­h Mohd Sidiq; tiga warga Bangladesh Hossen Mia, Nur Alam dan Rahaman Abdur; dua warga Indonesia Hosrin Sharif dan Erwin Salis serta seorang rakyat Pakistan Raza Ali. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia