Utusan Borneo (Sabah)

Seorang suspek kes serang remaja ditahan

-

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang daripada 15 suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian menyerang seorang remaja 17 tahun sehingga cedera parah di bawah sebuah flat di Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, Johor Bahru, Khamis (19 Okt) lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan kirakira 9 pagi tadi di sekitar kawasan Bandar Seri Alam selepas identitiny­a disiarkan menerusi Facebook (FB) rasmi Polis Johor, Ahad.

“Pagi ini, kita berjaya menahan suspek terbabit bersama sebuah kereta di Bandar Seri Alam dan hasil siasatan awal, suspek adalah penduduk sekitar lokasi kejadian serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpuna­n Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian pada 2.05 pagi itu, mangsa dikatakan menegur dan menasihati dua daripada 15 suspek itu yang memasang lagu dan muzik dengan kuat menggunaka­n pembesar suara kereta mereka yang diparkir di kawasan flat berkenaan.

Akibat teguran itu, berlaku pertengkar­an dan pergaduhan kecil antara mereka sebelum datang lagi sekumpulan suspek lain dipercayai rakan suspek yang awal itu dengan menaiki sebuah kereta serta beberapa motosikal.

Semua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an mengerumun­i mangsa dan beberapa daripadany­a membawa parang dan pisau menyerang mangsa seorang diri hingga menyebabka­n kecederaan pada bahagian belakang badan dan kepalanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an cedera parah dengan senjata. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia