Utusan Borneo (Sabah)

Operasi diteruskan cari lelaki sesat di Gunung Gagak: Bomba

-

SEREMBAN: Gerakan mencari seorang lelaki berusia 28 tahun yang dilaporkan sesat di Gunung Gagak, Rembau, pada Ahad diteruskan Isnin, kata Pegawai Operasi Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Mohd Izwan Md Said.

Beliau berkata mangsa dilaporkan sesat setelah menghubung­i sendiri talian 999 pada 8.15 malam Isnin memaklumka­n beliau tersesat dan kepenatan untuk turun ke kaki gunung berkenaan selepas mula mendaki pada 5.30 petang Ahad.

“Pihak kami tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian bersama 10 anggota dan empat pegawai termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) bagi mencari mangsa. Namun, mangsa masih belum ditemui sehingga Isnin.

“Operasi mencari diteruskan dan diperhebat­kan dengan melibatkan 83 anggota termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Renjer Hutan dan penduduk kampung,” katanya kepada Bernama di sini, pada Isnin.

Mohd Izwan berkata kali terakhir mangsa dapat dihubungi pasukan penyelamat ialah pada 12 tengah hari Isnin.

“Ketika itu, mangsa memaklumka­n lokasi terakhirny­a di ‘base camp’ Gunung Gagak di ketinggian 807 meter gunung berkenaan. Namun apabila agensi penyelamat tiba di situ, mangsa bagaimanap­un tiada di lokasi seperti dimaklumka­n,” katanya.

Beliau berkata lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Teoh Kok Ping dan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur, sebelum ini hanya dapat dihubungi ketika mangsa berada di puncak gunung berkenaan, namun terputus hubungan ekoran kadar penembusan talian kurang baik di kawasan itu.

“Sehingga 12.40 tengah hari tadi, operasi mencari telah dijalankan lebih 16 jam sejak malam semalam,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia