Utusan Borneo (Sabah)

Graduan KUIPs harus berani ceburi bidang keusahawan­an

-

KANGAR:Graduan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) harus berani menceburi bidang keusahawan­an setelah dilatih dengan ilmu berkenaan yang merupakan satu daripada ‘7 Tiang Teras’ KUIPs, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l.

Menurut baginda menerusi ilmu keusahawan­an, pelajar diberi pendedahan untuk memulakan perniagaan dengan bimbingan pakar selain terlibat dalam program inkubator yang disokong oleh panel industri mengenai dunia perniagaan sebenar.

“Beta yakin jaringan kuat antara KUIPs dan para pihak berkepenti­ngan seperti Persatuan Francais Malaysia, bank dan syarikat korporat membantu menjayakan agenda KUIPs melahirkan graduan berminda usahawan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Tuanku Canselor KUIPs bertitah demikian ketika menyempurn­akan istiadat konvokesye­n kolej universiti tersebut yang pertama di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan Polis Perlis di sini pada Isnin.

Berangkat sama pada istiadat itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam pada itu, baginda turut menyeru para pensyarah KUIPs agar meneruskan budaya pengajaran berkualiti tinggi serta menyuburka­n budaya inovasi dan kreativiti untuk menjadikan KUIPs sebuah kolej universiti berdaya maju dan relevan dalam arus perkembang­an dunia.

Pada istiadat itu, seramai 21 graduan sulung menerima diploma iaitu 11 orang jurusan Perbankan Islam, Pengajian Islam (enam) dan Pengajian Syariah (empat).

Nurin Izzati Abdul Nasir (Diploma Syariah) dan Nur Syamimi Rosli (Diploma Perbankan Islam) menerima Anugerah Rektor manakala Anugerah Imtiyaaz diraih Atikah Mohd Akhir dan Muhammad Zaid Che Aziz, kedua-duanya pelajar Diploma Pengajian Islam. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia