Utusan Borneo (Sabah)

Tinggalkan kerjaya perhotelan selepas lebih sedekad

Bidang perniagaan bawa perubahan besar buat Natasha

- Oleh SITI AISYAH NARUDIN

MEMBUAT keputusan yang boleh memberi kesan besar dalam kehidupan bukanlah perkara yang mudah, apatah lagi jika ia sesuatu yang berisiko tinggi.

Sama ada keputusan yang dibuat itu didorong oleh pemikiran yang positif mahupun negatif, masingmasi­ng ada pro dan kontra.

Begitulah situasi awal yang dihadapi oleh tetamu ruangan Citra Hawa kali ini, Natasha Merilyn P.Toyong, 37, ketika memutuskan untuk meninggalk­an kerjaya yang diceburiny­a selama 13 tahun.

Walaupun beliau menganggap memilih keputusan berkenaan sebagai ‘berbaloi’, namun banyak pengalaman dan ilmu pengetahua­n yang diperoleh sepanjang 13 tahun lalu mengajarny­a untuk lebih matang dan berani menghadapi cabaran dalam kehidupan.

Natasha yang juga pemilik bersama restoran Bunda Ngiu Chap kini lebih yakin keputusan besar yang dibuatnya lebih setahun lalu membawa perubahan besar untuk dirinya melangkah lebih berani dalam kerjaya sekarang.

PERHOTELAN

“Sebelum ini, saya bekerja di salah sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu.

“Menceburi bidang perhotelan bukanlah kerana minat pada awalnya, tetapi lama-kelamaan saya semakin serasi dengan kerjaya ini.

“Ditambah lagi dengan suasana di tempat kerja yang menyeronok­kan, dari tahun ke tahun saya semakin selesa bekerja di hotel,” katanya yang pernah mengambil jurusan perundanga­n dan komunikasi massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Shah Alam ini.

Walaupun tidak menamatkan pengajiann­ya dalam kedua-dua jurusan berkenaan atas kekangan yang tidak dapat dielakkan, beliau tidak pernah melupuskan hasrat untuk menggengga­m segulung ijazah satu hari nanti.

Pengalaman awal beliau berkecimpu­ng dalam bidang perhotelan bermula dengan bekerja secara sambilan di sebuah hotel di Kuala Lumpur ketika masih dalam tempoh pengajiann­ya di UiTM.

Selepas kembali ke kampung halamannya di Penampang, Natasha mula terfikir untuk meneruskan kerjaya di hotel memandangk­an beliau memiliki pengalaman selama setahun.

Di situlah bermulanya detik beliau memasuki kembali dunia perhotelan walaupun perlu bersaing dengan ramai lepasan sekolah yang banyak memohon kerja di hotel pada waktu itu.

“Bekerja di hotel membuka ruang kepada saya untuk melihat potensi diri yang sebenar.

“Daripada seorang yang tidak ada keyakinan diri, saya mula berubah untuk menjadi lebih berani dalam menampilka­n kemampuan diri.

“Bermula dari jawatan yang rendah, saya berusaha gigih hingga saya diberi kepercayaa­n untuk memegang jawatan sebagai pengurus,” jelasnya.

Begitulah pencapaian yang mampu diperoleh Natasha dalam bidang perhotelan.

BERUBAH KERJAYA

Tidak dinafikan apabila seseorang itu sudah terlalu selesa dengan rutin kerjaya hariannya, kadang-kadang ada beberapa perkara penting yang sering terabai dalam kehidupan. Anak sulung daripada tiga adik-beradik ini juga tidak terlepas daripada menghadapi perkara sedemikian.

Menurutnya, bekerja di hotel memang menyeronok­kan lebih-lebih lagi apabila rakan sekerja semuanya seperti satu keluarga.

Namun, dalam kesibukan bekerja ada masanya beliau terfikir sehingga mana hala tuju kerjayanya dalam bidang perhotelan.

Selain kurang meluangkan masa bersama keluarga, Natasha juga jarang berjumpa dengan kawankawan di luar kerana lebih banyak menghabisk­an masa bekerja.

“Pada 2015, saya mula terfikir, bolehkah saya buat benda lain? Mampukah atau beranikah saya untuk bertukar kerja?

“Persoalan-persoalan seperti ini yang sering menjelma dalam fikiran saya dan selepas berbincang dengan ibu, akhirnya saya memutuskan untuk menamatkan kerjaya dalam bidang perhotelan ini,” katanya.

Kebimbanga­n yang difikirkan­nya selama ini akhirnya berlaku juga dan tanpa mahu menoleh kembali, beliau nekad untuk meneruskan apa juga perancanga­n selepas itu.

Pada awalnya, beliau akui rindu untuk bekerja semula di hotel. Bagaimanap­un, keputusan yang dibuat tidak akan diubah semudahnya.

Justeru, beliau tetap dengan pendirian untuk meninggalk­an dunia perhotelan dan memulakan kerjaya baharu dalam bidang perniagaan.

KEDAI DEKORASI & BUNDA NGIU CHAP

“Memilih untuk berniaga ini banyak didorong oleh ibu saya, Florintina Abdullah dan bersama seorang rakan, Cherly Anthony kami membuka kedai barangan dekorasi gaya Inggeris dan ‘Country’.

“Ini juga salah satu minat ibu saya yang menggemari barangan berkonsepk­an ala Inggeris.

“Pada mulanya, minat itu hanya sedikit sahaja, tapi lama-kelamaan saya semakin suka membuat hiasan untuk barangan dekorasi ini,” jelasnya.

Beliau berkata, selain dapat merasa ketenangan ketika membuat dekorasi, ia juga tidak memberikan tekanan kerana dibuat secara santai.

Menurutnya, walaupun kerjaya baharu itu semakin menyeronok­kan, beliau akui pasaran untuk barangan dekorasi seperti itu masih belum luas.

Katanya, masih ramai yang tidak tahu dan meminati produk sedemikian dan pada waktu itu mula tercetus idea untuk membuka restoran.

“Bekerja bersama ibu saya semuanya kena cepat dan tanpa membuang masa, hanya dalam tempoh dua minggu semua persiapan berjaya diselesaik­an.

“Mula-mula memang ada cabarannya, terutama bila pelanggan belum tahu produk makanan yang kita jual.

“Tapi, semakin hari keadaan semakin baik dan apabila pelanggan mulai bertambah, ia memberi satu dorongan dan semangat yang tinggi,” katanya.

PERUBAHAN BESAR

Sejak restoran Bunda Ngiu Chap memulakan operasi pada awal tahun ini, banyak perkara yang dipelajari Natasha terutama selok-belok bidang perniagaan.

Semenjak itu juga beliau melihat banyak perubahan besar yang berlaku dalam hidupnya.

“Setiap hari saya bangun dengan semangat baharu, rasa tidak sabar untuk pergi kerja dan dapat berjumpa dengan pelanggan.

“Saya juga lebih teruja untuk mencari idea-idea baharu dan belajar benda baharu sebagai nilai tambah dalam perniagaan kami.

“Apabila ada idea baharu, kami akan berbincang bersama dan berusaha untuk merealisas­ikannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga dapat meluangkan banyak masa dengan keluarga serta melakukan beberapa aktiviti kegemarann­ya.

Selain gemar melancong, sekarang Natasha juga dapat meluangkan masa untuk membaca, berenang, menonton wayang dan drama kegemaran.

Sebelum ini, beliau menganggap bukan kerja yang menggembir­akannya, tetapi orang sekeliling. Namun sekarang, beliau lebih seronok dengan apa yang dilakukan.

Ternyata, perkara yang paling ditakutkan­nya sebelum berubah kerjaya dapat diatasi dengan lebih berani.

CABARAN

Bagi Natasha, dalam apa juga perniagaan, risiko dan cabaran itu sentiasa ada tidak mengira apa jenis perniagaan yang dijalankan.

Menurutnya, berniaga restoran memang banyak cabaran dan pesanan ibunya yang selalu menjadi panduan untuk beliau terus kuat.

“Ibu saya berpesan, jangan takut selagi apa yang kita buat itu bukan sesuatu yang salah.

“Tiada bisnes yang tiada risiko, yang penting perlu jujur, ikhlas dan buat kerja dengan positif. Ia tentu akan membawa hasil yang baik.

“Begitulah kata-kata ibu yang selalu saya ingat dan pegang. Itu juga pendorong semangat saya untuk terus berani menghadapi setiap cabaran yang datang,” katanya.

BIDANG KOSMETIK

Alang-alang menceburi bidang perniagaan, Natasha turut merancang untuk memasuki dunia produk kecantikan.

Beliau bersama ibunya sebelum ini ada menghasilk­an toner berasaskan bahan-bahan asli.

Disebabkan minat, mereka merancang untuk mengikuti kursus penghasila­n produk kecantikan di luar negara tahun hadapan.

“Kami mahu besarkan perniagaan yang dijalankan. Biarlah banyak pilihan, kalau gagal cuba lagi yang lain.

“Menjual produk kecantikan ini juga antara perancanga­n terdekat kami untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaan sedia ada,” katanya.

HARAPAN

Tentunya dalam apa juga bidang kerjaya yang diceburi, beroleh kejayaan itu antara harapan besar yang mahu dicapai.

Bagi Natasha sendiri, beliau berharap mampu mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan.

“Saya mahu lebih ramai yang tahu dan berkongsi tentang restoran kami supaya kami dapat buat lebih banyak penambahba­ikan.

“Pada masa sama, saya juga berharap hasil dari perniagaan ini membawa kami untuk membuka cawangan baharu Bunda Ngiu Chap,” katanya.

Beliau turut berharap, segala perancanga­n yang dibuat dapat dilaksanak­an dengan sebaiknya serta membantu meningkatk­an lagi kualiti produk yang dihasilkan.

Ketakutan untuk berubah, kebimbanga­n untuk menghadapi risiko serta kelemahan untuk mencuba sesuatu baharu bukan lagi menjadi halangan buat Natasha.

Setiap cabaran berani untuk disahut dan kini beliau semakin yakin, memilih keputusan terbesar hingga mengubah hidupnya bukanlah perkara yang siasia dilakukan.

Ibu saya berpesan, jangan takut selagi apa yang kita buat itu bukan sesuatu yang salah. Tiada bisnes yang tiada risiko, yang penting perlu jujur, ikhlas dan buat kerja dengan positif. Ia tentu akan membawa hasil yang baik. Begitulah kata-kata ibu yang selalu saya ingat dan pegang. Itu juga pendorong semangat saya untuk terus berani menghadapi setiap cabaran yang datang.

NATASHA MERILYN P.TOYONG

 ??  ?? SALAH seorang pekerja di Bunda Ngiu Chap Cherly (kanan) membantu pelanggan yang melihat barangan dekorasi di restoran itu.
SALAH seorang pekerja di Bunda Ngiu Chap Cherly (kanan) membantu pelanggan yang melihat barangan dekorasi di restoran itu.
 ??  ?? LAYANAN mesra kepada pelanggan sentiasa diutamakan oleh Natasha dan ibunya (duduk, dua kanan).
LAYANAN mesra kepada pelanggan sentiasa diutamakan oleh Natasha dan ibunya (duduk, dua kanan).
 ??  ?? BERSAMA rakan sekerja ketika bertugas di salah sebuah hotel bertaraf lima bintang.
BERSAMA rakan sekerja ketika bertugas di salah sebuah hotel bertaraf lima bintang.
 ??  ?? NATASHA menunjukka­n senarai menu istimewa di restoran Bunda Ngiu Chap.
NATASHA menunjukka­n senarai menu istimewa di restoran Bunda Ngiu Chap.
 ??  ?? DUNIA perniagaan membuka peluang mereka menyertai bazar.
DUNIA perniagaan membuka peluang mereka menyertai bazar.
 ??  ?? ANTARA aktiviti hotel yang pernah disertai bersama rakan sekerja.
ANTARA aktiviti hotel yang pernah disertai bersama rakan sekerja.
 ??  ?? KENANGAN ketika melancong di luar negara.
KENANGAN ketika melancong di luar negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia