Utusan Borneo (Sabah)

K’jaan cari jalan transforma­si kemajuan masyarakat India

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa mencari jalan mentransfo­rmasi kemajuan masyarakat India di negara ini ke tahap yang lebih tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan bukan sahaja mendengar masalah dihadapi masyarakat tersebut malah sentiasa mencari jalan penyelesai­an dalam mentransfo­rmasikan masyarakat berkenaan ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata transforma­si bidang pendidikan, politik dan pembanguna­n sosioekono­mi masyarakat India kini semakin diberi keutamaan oleh kerajaan.

Melalui bidang pendidikan, katanya, ia akan mengubah nasib sesebuah keluarga dan meningkatk­an taraf ekonomi mereka.

Beliau menarik perhatian, Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara maju tanpa kekuatan dan keprihatin­an dalam bidang pendidikan untuk semua kaum dan etnik di negara ini.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyempurn­akan majlis penyerahan cek peruntukan penyelengg­araan khas bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 2017 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramania­m di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di sini.

Kemajuan yang semakin dikecapi masyarakat India adalah hasil kepedulian dan keprihatin­an kerajaan yang tidak pernah mengabaika­n mana-mana masyarakat dan etnik di negara ini, katanya.

“Saya rasa masyarakat India kini semakin dekat dengan kerajaan (susulan) pelbagai jenis kemajuan (dikecapi mereka). Saya tidak nampak ada sebab atau punca untuk berjauhan antara satu sama lain.

“...dan tiba masanya nanti pada hari besar, (PRU), kita tunaikan tanggungja­wab dan dengan memberi mandat sepatutnya demi kemajuan bangsa dan negara,” katanya.

Sebanyak RM25 juta dari RM50 juta Dana Peruntukan Fasa Pertama 2017 telah diagihkan kepada 157 SJKT kerajaan di seluruh negara, setakat ini. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia