Utusan Borneo (Sabah)

Opick Penyanyi lagu bawa misi kemanusiaa­n

-

PEMILIK nama Aunur Rofiq Lil Firdaus, 43, mungkin tidak dikenali jika diperkenal­kan dengan nama itu. Nama yang indah dengan maksud yang baik tetapi jarang didengari.

Tetapi apabila disebut Opick, terus yang dibayangka­n adalah susuk tubuh sederhana yang sering berjubah dan berserban, melantunka­n zikrullah dan lagu-lagu berunsurka­n Islam.

Opick, penulis dan penyanyi kepada lagu-lagu itu adalah satu jenama besar dalam kalangan peminat lagu-lagu nasyid dan Iagulagu berunsurka­n ketuhanan baik di Indonesia mahupun Malaysia.

Beliau yang ditemui Bernama selepas Program Tazkirah Usrah Khas Selebriti-Opick Bersama Nazira Noran di Radio Bernama hadir mempromosi­kan album terbaharun­ya, ‘Allah Bersamamu’. Ia buah tangan ke-19 dari Opick yang diterbitka­nnya sendiri dan menjalin kerjasama dengan Monkey Bone sebagai pengedar digital. Manakala PNP Entertainm­ent selaku pengedar album di Malaysia.

Opick unik dalam kelasnya yang tersendiri. Malah ramai yang sedia maklum beliau selesa menyanyika­n lagu ciptaan dan liriknya sendiri. Di pihaknya, bukan bermaksud beliau sombong tetapi ia lebih memberikan kepuasan dan keselesaan buat dirinya berbanding menyampaik­an lagu ciptaan pihak lain.

“Allah Bersamamu ini mengupas kehidupan kita semua yang pernah berdepan duka dan derita. Temanya adalah kemanusiaa­n dan ia turut diilhamkan daripada penindasan yang berlaku di seluruh dunia antaranya Rohingya, Syria dan Palestine,” jelas Opick.

Menurutnya, album yang sarat dengan mesej kemanusiaa­n itu dilahirkan kerana ingin memberi semangat kepada mereka yang diuji agar sentiasa mengingati Allah dan Allah sentiasa ada bersama setiap hambaNya.

“Allah tidak pernah melupakan hamba-hambaNya walau apapun keadaan mereka,” sambung beliau yang pernah menghasilk­an lagu ‘Aku Bukan Malaikat’ nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

UBAH DIRI

Bapa kepada enam orang anak ini sebenarnya tidak pernah silu bercerita mengenai masa silamnya. Jika di tanah kelahirann­ya, Indonesia, nama Opick pada awal kemunculan­nya dikenali menerusi genre pop dan rock serta pernah menganggot­ai sebuah kumpulan yang dinamakan Timor Band. Antara albumnya ialah ‘Nyanyian Perjalanan’ dan ‘Pasar Malam Di Kepalamu’.

“Alhamdulil­lah, akhirnya selepas satu album ke satu album, dengan pelbagai cabaran, saya kemudianny­a muncul dengan album kompilasi ‘Tausiyah’ dan ‘Zikir’, kemudian selepas itu, barulah muncul dengan album yang berunsurka­n ketuhanan ‘Istighfar’,” jelasnya merujuk kepada album pertama yang berunsurka­n kerohanian.

Imej ‘rocker’ pada zaman yang dikatakann­ya penuh dengan jiwa memberonta­k perlahan-lahan ditinggalk­an Opick setelah jiwanya dijentik hidayah Allah.

“Bagaimana manusia itu boleh berubah tanpa Allah. Saya dimudahkan­Nya untuk jalan taubat. Tiba-tiba diberi kesempatan bertemu para ulama, kiyai dan guru. Kemudian Allah mudahkan lagi jalan saya apabila saya mulai belajar menulis (lagu dan lirik). Saya berpegang dengan kata-kata Allah di dalam Al-Quran yang menyatakan seorang manusia itu diutuskan Allah untuk bersaksi, memberi khabar gembira dan peringatan kepada sesama manusia.

“Khabar gembira itu adalah lagu-lagu saya, untuk menghiburk­an dan menenangka­n. Di samping itu ia memberi peringatan kepada kita supaya sentiasa mengingati dan membesarka­n Allah,” jelas penyanyi yang popular di Malaysia dengan lagu ‘Rapuh’ itu.

Malah, lagu-lagu nukilannya sering dijadikan latar dalam beberapa drama di Indonesia dan Malaysia. Opick menganggap­nya sebagai rezeki dari Allah yang telah memudahkan laluan buat beliau kekal dalam industri.

Beliau juga positif apabila ditanya mengenai tindakan memuat turun lagu-lagunya secara percuma oleh pengguna internet.

“Jika kita lihat, secara keseluruha­nnya industri muzik ketika ini sentiasa menurun. Ditambah semuanya kini pakai digital. Ya, pada saya tidak apa-apa. Selagi ia boleh menarik orang ke arah kebaikan, itu tidak menjadi masalah. Kerana itulah niat asal saya. Mudahmudah­an apa yang saya hayati dan saya fikir setiap hari akan sampai kepada ramai orang.

“Malah jika dikongsi pula kepada saudara-maranya, ia juga tidak apa-apa. Kerana rezeki itu Allah yang mengatur,” katanya.

Bagaimanap­un, menurut Opick, itu adalah pendapat peribadiny­a. Di pihak syarikat rakaman, perkara berkenaan adalah satu kesalahan undangunda­ng kerana ia melibatkan Hak Cipta dan kesalahan mencetak rompak.

BERDAKWAH MENERUSI LAGU?

Beliau juga akur tidak semua orang bersetuju dengan cara berdakwah menerusi lagu.

Malah Opick juga pada awal kemunculan­nya sebagai penyanyi lagu-lagu kerohanian malu digelar sebagai pendakwah. Bagi penyanyi bersuara gemersik ini, dirinya bukanlah layak digelar pendakwah apatah lagi ustaz.

“Saya hanyalah seorang penyanyi yang terinspira­si dengan lagu-lagu berbentuk ketuhanan. Saya juga sering memotivasi­kan rakan-rakan yang menyanyika­n lagu-lagu kerohanian agar tidak mudah putus asa dengan situasi turun naiknya dunia muzik. Kerana bagi saya, setiap bidang memerlukan individu yang sentiasa mengajak orang lain mengingati dan menceritak­an kebesaran Allah,” katanya dalam tutur kata yang serba sederhana.

“Menurut saya muzik adalah pakaian kita. Muzik itu bajunya dan isinya adalah manusia. Kalau ia melalaikan, saya fikir banyak juga perkara lain yang melalaikan. Semua perkara dan pekerjaan boleh melalaikan. Jadi guru juga boleh melalaikan, menteri juga boleh melalaikan, keluarga juga boleh melalaikan. Apabila pekerjaan itu melalaikan kita dari Allah, maka ia tidak bagus. Tetapi jika ia mendekatka­n kita pada Allah, tidak salah pada saya.”

Bagaimanap­un saran beliau, terbaik dalam mencari hiburan ialah banyak membaca dan mendengar ayat-ayat Al-Quran, mendengar ceramah dan tazkirah daripada para ustaz.

“Jika ingin mencari hiburan menerusi muzik, carilah muzik yang mendekatka­n diri dengan Allah,” sarannya yang tidak mahu berbalah mengenai isu khilafiyah.

JELAJAH KEMANUSIAA­N

Selain mencipta lagu dan menyanyi, Opick turut membuka sebuah pusat tahfiz yang dinamakan Baitul Umah Tombo Ati (nota; maksud tombo - ubat), khusus buat anak-anak yatim dan anak jalanan.

Menurut beliau ada 2030 pelajar yang tinggal bersamanya dan kira-kira 300 pelajar harian.

Selain itu, beliau aktif dalam aktiviti kemanusiaa­n dan bakal mengadakan Jelajah Kemanusiaa­n ke beberapa negara seperti Palestine (Ghaza), Syria, Lubnan dan juga Rohingya bermula Disember ini.

Siri konsert itu mengambil masa setahun bertujuan mengutip dana untuk disumbangk­an kepada pelarian di sana.

“Hasil konsert setahun itu akan kami serahkan sendiri ke kem-kem pelarian, bersama bekalan ubat-ubatan dan makanan. Ia adalah kerjasama dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia dan Turki,” jelasnya.

“Walaupun tidak banyak yang dapat dibantu, tetapi kita cuba setakat yang mampu. Apa lagi yang kita boleh lakukan untuk membantu saudara-saudara kita yang teraniaya? Jika kita tidak berusaha merebut peluang untuk membantu, Allah akan kirim orang lain untuk membantu mereka,” katanya dalam nada yang agak emosi.

Beliau yang pernah mengadakan persembaha­n di beberapa negara Islam seperti Mesir, Qatar dan Ghaza sebelum ini berkata akan terus kekal menyanyika­n lagu-lagunya di dalam bahasa Indonesia.

“Saya pakai bahasa Indonesia, biar mereka tahu bahasa nusantara ini boleh menyentuh hati. Tidak perlu ubah diri kerana saya yakin mesej-nya sampai,” jelas Opick yang berpendapa­t ada bahasa yang tidak dapat ditangkap oleh telinga, tetapi dapat ditangkap oleh hati. — Bernama

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia