Utusan Borneo (Sabah)

Penduduk Paya Terubong bantah projek perumahan, risau kejadian tanah runtuh

-

GEORGE TOWN: Hampir 700 penduduk di dua taman di Paya Terubong pada Rabu membantah cadangan pembinaan empat blok perumahan melebihi 40 tingkat di lereng Bukit Kukus yang terletak berhampira­n kejiranan mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lau Geok Swee dan Taman Sri Rambai, Dr Ti Lian Geh berkata jarak di antara lereng bukit dan kawasan perumahan hanya 200 meter dan pembinaan itu akan menjejaska­n kediaman penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pelan awal projek di lereng bukit adalah untuk pembinaan rumah enam tingkat namun telah diubah suai dan dimaklum kepada penduduk sekitar pada 2015.

“Kami sudah banyak kali kemukakan bantahan terhadap projek ini kepada kerajaan negeri namun sehingga kini masih tiada maklum balas,” katanya kepada pemberita di depan tapak pembinaan projek itu di sini, Rabu.

Beliau berkata mereka risau kejadian tanah runtuh seperti di Tanjung Bungah Sabtu lepas yang meragut 11 nyawa itu berulang di Paya Terubong sekiranya projek itu diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Dr Ti mendakwa lereng bukit di kawasan itu sudah beberapa kali runtuh, dipercayai berpunca daripada kerja penggondol­an bukit dijalankan pemaju bagi memberi laluan kepada pelaksanaa­n projek itu.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha MCA Bukit Gelugor Choong Jun Jie dan Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong turut melawat tapak pembinaan projek itu bersama beberapa penduduk kawasan berkenaan.

“Penduduk berasa bimbang kerana pernah berlaku tanah runtuh di lereng bukit berdekatan rumah mereka Julai lepas,” kata Oh.

Beliau berkata pada November 2015, sejumlah 300 penduduk di Taman Lau Geok Swee menandatan­gani bantahan pelaksanaa­n projek pembinaan tiga bangunan 47 tingkat dan satu bangunan 41 tingkat itu kerana berpendapa­t ia memberi impak ke atas kehidupan dan kawasan persekitar­an mereka.

Penduduk di kawasan berkenaan juga telah menghantar surat bantahan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang namun sehingga hari ini tiada jawapan daripada pihak berkuasa, katanya.

Dalam pada itu Oh turut mempersoal­kan sama ada jawatankua­sa pemantauan bukit yang diwujudkan oleh kerajaan negeri masih berfungsi atau sebaliknya.

“Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumka­n penubuhan jawatankua­sa itu pada 8 Dis 2008 dan mengarahka­n pemaju yang menjalanka­n projek pembanguna­n di lereng bukit menghantar laporan geoteknik setiap minggu. Adakah ia dipraktikk­an oleh pemaju atau hanya sekadar satu pengumuman,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia