Utusan Borneo (Sabah)

Sabah tambah 2e-4p-1g

Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan

- Oleh VITALIS G. BINGKASAN

KOTA KINABALU: Sabah kembali bangkit dengan meraih dua emas, empat perak dan satu gangsa pada hari ketiga Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Dewan Belia Dan Sukan, Kuching Sarawak pada Khamis.

Kedua-dua pingat emas dimenangi Nelcy Tunik menerusi angkatan 68kg acara clean and jerk kategori 48kg wanita junior dan senior.

Nelcy juga menang dua pingat perak (senior dan junior) menerusi angkatan 50kg acara snatch.

Dua lagi pingat perak dimenangi Junior Lius dalam kategori 94kg lelaki senior menerusi angkatan snatch 100kg dan clean and jerk 125kg.

Pingat gangsa dimenangi Chris Eva Boni menerusi angkatan snatch 42kg kategori 63kg wanita junior. Dia gagal melakukan sebarang angkatan dalam acara clean and jerk.

Turut bertanding tetapi gagal meraih sebarang pingat adalah Littha Justin (48kg wanita junior), Shereilyn Juanis (53kg wanita junior dan senior) dan Grace George (58kg wanita junior).

“Secara keseluruha­nnya ia pencapaian yang baik. Pingat emas itu juga adalah bonus kerana saya hanya menjangkak­an pingat perak.

“Mereka yang tidak menang juga sekurang-kurangnya mendapat penglaman berguna. Kami juga tidak menetapkan sebarang pingat kerana mereka masih baru dalam sukan ini,” kata jurulatih Stephen Gampion ketika dihubungi.

Pencapaian kelmarin menyaksika­n Sabah mengumpul tujuh emas, lima perak dan lima gangsa dan menebus kehampaan gagal meraih sebarang pingat pada hari kedua.

Sabah menang lima emas, satu perak dan empat gangsa yang dimenangi pada hari pertama kejohanan yang disertai 150 atlet dari 14 pasukan itu.

Sabah diwakili 13 atlet yang terdiri dari tujuh lelaki dan enam wanita.

Sabah hanya ada satu wakil iaitu Carolyn Joachim yang akan bertanding dalam kategori 90kg wanita junior dan senior pada hari terakhir kejohanan hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia